top of page
Search
  • Writer's pictureinfomisi7

PUNAN BAH, ASNAF MUALLAF YANG TERPINGGIR...

Updated: Oct 29, 2019


Bismillahirrahmanirrahim ...


Alhamdulillah, selesai sudah Program Dalam Negara Sukarelawan MISI7InSarawak2019. Terima kasih diucapkan kepada para sukarelawan yang telah membantu kelancaran misi yang pertama di negeri Sarawak ini. Apa yang telah kalian lakukan pada misi ini akan memudahkan urusan sukarelawan yang lain untuk misi ini yang seterusnya, in sha Allah.


Buat saudara-saudara kita di Punan Bah, semoga diri dan iman kalian senantiasa berada dalam jagaan Allah SWT.


Pertama kali sebelum meneruskan bacaan, saya ingin tegaskan yang mana artikel ini ditulis untuk menyalurkan maklumat berkenaan saudara kita di Punan Bah yang harus dibantu. Penulisan ini bukanlah untuk mencari khilaf dan aib sesiapa kerana kehadiran MISI7 di Punan Bah ini adalah untuk bantuan jangka masa pendek dan juga bantuan jangka masa panjang.


Diharap, dengan tersebarnya maklumat ini, ianya dapat membuka laluan dan mempermudahkan urusan pihak lain jika ingin turut membantu mereka di Punan Bah.


"Punan" adalah nama kepada salah satu kaum yang tinggal di pedalaman Kapit ini. Manakala "Bah" dalam bahasa suku kaum tersebut adalah bermaksud sungai. Oleh kerana perkampungan suku kaum Punan ini terletak di tepi sungai, nama kampung tersebut di nama Punan Bah.

Untuk ke Punan Bah, perjalanan yang perlu ditempuh agak lama. Dari Lapangan Terbang Sibu, kami perlu ke Terminal Bot yang mengambil masa kira-kira 40 minit. Dari Sibu, menaiki bot merentasi Sungai Rejang ke pekan Kapit akan mengambil masa selama 3 jam. Oleh kerana kekerapan bot dari pekan Kapit ke Punan Bah hanya ada 1 bot sahaja setiap hari, jadi kami perlu bermalam terlebih dahulu di Kapit. Pada keesokan harinya, barulah kami mengambil bot dari Kapit ke Punan Bah yang mengambil masa perjalanan kira-kira 4 jam.


Kumpulan Sukarelawan MISI7 telah melakukan ziarah ke perkampungan ini pada 20 & 21 Oktober 2019 yang lalu. Selain dari menziarahi mereka, kami juga telah melakukan penilaian dan pendataan muslim disana. Terdapat kira-kira 40 orang muslim dan 80% darinya adalah muallaf. Kebanyakkan dari mereka menerima hidayah dan kembali kepada Islam sejak 8 tahun yang lalu.



Di seberang sungai kampung ini terdapat kubur lama yang memiliki batu nisan tertera padanya tahun 1312 Hijrah. Malangnya kini kubur tersebut dijadikan tempat pemujaan oleh pelbagai agama dan dianggap keramat.


Ini bermakna, Islam di daerah ini bukanlah agama baru dan asing. Kami berjumpa dengan seorang pakcik bernama Sayop yang umurnya 69 tahun. Menurut beliau, moyang, atuk neneknya dahulu adalah muslim. Anaknya juga baru sahaja kembali kepada Islam. Kita doakan agar beliau dikurniakan hidayah oleh Allah SWT.


Perkampungan yang didiami oleh kaum Punan ini memiliki 3 penganut agama iaitu Islam, Kristian dan Animisme. Terdapat sebuah sekolah rendah yang terdapat kira-kira 128 orang pelajar di kampung ini. Dengan bilangan muslim yang hampir mencecah 50 orang, Punan Bah tidak memiliki tanah perkuburan, surau apatah lagi tempat untuk membimbing para muallaf. Tanah perkuburan yang paling dekat mengambil masa perjalanan menaiki bot selama 3jam lamanya.


Menurut abang Hussin dan isterinya, mereka seperti orang bodoh kerana mahu solat, tetapi tidak tahu bila masuk waktunya. Baca Al-Fatihah pun mereka tunggang terbalik. Pasangan yang telah kembali kepada Islam sejak 8 tahun lalu kelihatan sangat dahagakan ilmu agama untuk hidup berTuhan. Walaupun ketika kunjungan dilakukan jaringan internet sangat lemah, sukarelawan sempat memuat naik aplikasi solat ke telefon pintar pasangan ini dan mengajarkan cara untuk mengetahui waktu solat mengikut tetapan yang telah dibuat.


Manakala, seorang lagi muallaf yang bernama kak Nur Hidayah mengadu kepada sukarelawan kami yang mana beliau seakan mahu putus asa menjalani kehidupan sebagai muslim kerana menyedari masih banyak ilmu dan amalan sebagai seorang muslim yang beliau tidak ketahui tetapi tiada sesiapa yang boleh membimbingnya. Beliau yang kembali kepada Islam sejak tahun 2015 memiliki 2 orang anak yang masih bersekolah. Beliau juga berhajat untuk mewakafkan sebahagian dari tanah yang dimilikinya untuk dibina sebuah surau.


Menurut sumber maklumat yang diperolehi dari muallaf disini, di kampung ini pernah dihantar seorang daei untuk membimbing mereka, namun begitu permasalahan timbul kerana daei yang dihantar oleh sebuah badan bukan kerajaan itu tidak dapat melaksanakan tugasan tersebut atas beberapa faktor. Oleh itu, tinggallah mereka tanpa dibimbing sejak bertahun lamanya. Padahal, lokasi Punan Bah ini adalah ditepi sungai yang menjadi laluan untuk ke tempat muslim yang lain.


Kami juga dimaklumkan oleh asnaf muallaf disini bahawa mereka akan ke pekan Kapit menaiki bot yang tambangnya sebanyak RM40 sehala semata-mata untuk membayar zakat fitrah setiap kali bulan Ramadhan. Kerana mereka takut berdosa sebagaimana yang diberitahu oleh pihak yang memainkan peranan wakil Islam di sana. Sedangkan tiada agihan sebarang zakat untuk mereka. Khabarnya juga tiada peruntukkan untuk muallaf di sini.


Malah, terdapat kes saudara baru yang ketika itu mahu kembali kepada Islam, mereka perlu ke Pekan Kapit untuk bertemu wakil agama Islam disana untuk lafaz syahadah. Kenapa perlu menyusahkan asnaf ini dengan perjalanan yang memerlukan kos yang tinggi bagi mereka untuk menapak ke bilik penghawa dingin di Kapit sana?


Persoalannya kenapa?

Kenapa mereka dipinggirkan?

Kenapa tiada usaha untuk membimbing mereka?


Jika ada usahanya, kenapa ia terhenti? Sedangkan Allah telah menggerakkan hati mereka untuk membuka pintu untuk kita berikan bimbingan kepada mereka!


Dengan usia bertapaknya Islam di Punan Bah ini serta bilangan muslim yang ada, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana kedudukannya dengan pekan Kapit yang memiliki pusat pentadbiran Islam tidaklah terlalu jauh.


Namun begitu, persoalan diatas kami tinggalkan untuk kita semua renungkan sendiri tanggungjawab dan amanah seorang muslim untuk saudaranya yang dahagakan bimbingan. In sha Allah, hadirnya kami disini untuk merangka dan terus melaksanakan bantuan bimbingan segera yang mungkin. Bukan untuk mencari khilaf dan aib pihak tertentu.


Ikuti perkembangan semasa yang kami rangka untuk mereka di halaman Facebook kami: Pertubuhan Sukarelawan MISI7.



Disediakan oleh;

Setiausaha,

Pertubuhan Sukarelawan MISI7



593 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page