top of page
Search
  • Writer's pictureinfomisi7

MINORITI MUSLIM DI UTARA LAOS.

Updated: May 6, 2022


TENTANG MUSLIM DI UTARA LAOS.

Daerah Muang Houn yang terletak dalam Wilayah Oudomxay ini terletak kurang 100km daripada sempadan Boten, China. Dahulu, perjalanan ke daerah ini bukanlah mudah. Dari Malaysia pilihan pertama, sekiranya menaiki kapal terbang dari Malaysia, kita perlu mengambil laluan KL-Bangkok-Luang Prabang dan perlu menaiki bas selama 6 jam untuk ke Wilayah Oudomxay. Kemudian perlu menaiki bas atau van kira-kira 2 jam untuk tiba di Daerah Muang Houn. Apabila tiba di Daerah Muang Houn, saya perlu menaiki kenderaan pacuan 4 roda ataupun motorsikal untuk memasuki perkampungan muallaf yang ddikenali sebagai Ban Nweng. Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit-1 jam. Sepanjang laluan ke Ban Nweng ini, mata kita akan dijamu dengan pemandangan ladang pisang dan ladang jagung yang ditanam di bukit-bukit sekelilingnya.



Pilihan kedua ialah menaiki penerbangan KL-Vientiane dan perlu mengambil bas dari Vientiane-Oudomxay, laluan bas ini mengambil masa kira-kira 26-29jam perjalanan. Kemudian perlu menaiki bas atau van kira-kira 2 jam untuk tiba di Muang Houn. Begitulah jauhnya perjalanan untuk tiba ke perkampungan yang terletak di Muang Houn ini.

Kuang Si Waterfalls, Luang Prabang.

Namun begitu, saya membuat pilihan ke-3 laluan untuk kesana dengan menaiki penerbangan KL-Vientiane dan mengambil bas dari Vientiane-Luang Prabang.


Luang Prabang adalah laluan diantara Vientiane-Oudomxay. Saya singgah berehat 1 malam di Luang Prabang, kemudian esok harinyalah baru menyambung perjalanan menaiki bas ke Oudomxay.


Apabila membawa sahabat pada setiap kali permusafiran, pada pagi sebelum menaiki bas ke Oudomxay saya akan membawa mereka ke air terjun Kuang Si untuk merawat jiwa yang mula keletihan bermusafir.




Terkini khabarnya projek keretapi laju kerajaan China di sana telah siap. menerusi kemudahan tersebut, kita boleh menaiki keretapi tersebut yang menghubungkan terus Vientiane-Oudomxay.


Islam mula tersebar di Wilayah Oudomxay sekitar tahun 2015. Ianya bermula dengan pertemuan beberapa anak muda dari daerah Oudomxay yang bekerja di Wilayah Vientiane iaitu ibu negara Laos. Para pelajar ini menziarahi saudara dan kenalan mereka (yang muslim) tinggal di Daeerah Danxang, Vientiane. Dari situ mereka mula mengenali Islam. Ibu negara Laos ini pula bersempadan dengan Wilayah Nong Khai yang terletak di utara Thailand. Di Wilayah Nong Khai pula terdapat sebuah pusat yang dijadikan tempat untuk memberi didikan awal kepada muallaf iaitu Yayasan As Salam. Yayasan ini diuruskan oleh Ustaz Usman. Beliau pula (Ustaz Usman) mengenali muslim muallaf yang tinggal di Danxang, Vientiane. Menerusi beberapa muallaf di Danxang, Ustaz Usman mengikuti mereka ke Oudomxay apabila terdapat ahli keluarga muallaf tersebut berminat mengetahui lanjut tentang Islam. Jadi, dari situ bermulalah tumbuhnya cahaya Islam di Utara Laos.


Ustaz Usman membantu memberi didikan agama di Danxang, Laos untuk muallaf yang belum memiliki pasport. Bagi yang telah memiliki passport, muallaf tersebut perlu tinggal di Yayasan As Salam untuk mempelajari ilmu agama.


Para muallaf yang telah memahami Islam (tauhid) dan dapat membaca Al-Quran akan dihantar ke selatan Thailand untuk disambung pelajaran mereka. Jadi, daripada para pelajar inilah yang membawa balik Islam ke kampung mereka dan berjaya meyakinkan ibu bapa serta ahli keluarga mereka yang lain untuk kembali kepada Islam.


Selain dihantar ke selatan Thailand, terdapat juga beberapa pelajar menerima biasiswa dan mengikuti pembelajaran di Batam, Indonesia dibawah kelolaan Pak Imbalo.

Saya pula mula menjejakan kaki di Laos dan terus ke bahagian utara ini pada bulan Mac tahun 2016 bersama Ustaz Usman dan Ustaz Khossim dari Malaysia. Pada ketika itu, bilangan muallaf di kampung ini hanya 13 orang daripada 2 buah keluarga. Ketua 2 keluarga ini bernama Pakcik Ayub (gambar sebelah kanan saya) dan Pakcik Adam (gambar sebelah kiri saya). Kedua-dua mereka ini adalah adik beradik.


Arwah Pakcik Ayub telah mewakafkan tanahnya untuk dibina masjid. Alhamdulillah, 2 tahun sebelum dia meninggal dunia, tanah yang diwakafkan telah siap dibina masjid. Binaanya seperti rumah biasa sahaja, ini kerana bagi mengelakkan kesulitan pada masa akan datang dari pihak kerajaan Laos.


Masjid yang dibina di Ban Nweng.

Tahap penerimaan muallaf di Ban Nweng terhadap Islam ketika itu amat asing. Umpamanya tanah Mekah yang menerima kedatangan Islam dahulu. Segalanya baru pada mereka, namun apa yang amat terkesan dihati ialah melihat kesungguhan mereka untuk menjalani hidup berTuhan dengan mempelajari dan mengenali Islam.


Sebuah cabaran sebenarnya untuk memberikan bimbingan berterusan kepada mereka kerana kedudukan lokasinya yang jauh dan belum ada muallaf tempatan yang diberi keizinan oleh Allah SWT untuk meneruskan bimbingan tersebut.


Orang luar pula tidak dibenarkan untuk tinggal disesuatu tempat lebih daripada 2 hari oleh kerajaan Laos. Untuk tumpang bermalam dirumah kenalan pula memerlukan surat kebenaran ketua kampung dan balai polis berdekatan.

Kini, setelah 7 tahun saya mengikuti perkembangan dan telah 6 kali melakukan ziarah kesana dalam tempoh tersebut, sebenarya telah lahir puluhan orang pelajar muallaf yang telah tamat pelajarannya di selatan Thailand dan dari Batam Indonesia.


Namun begitu, belum ada dikalangan mereka diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan dakwah di kampung kelahiran mereka sendiri. Tambahan pula dengan faktor usia yang masih muda, mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk menerokai kehidupan yang baru.

Bagi saya, usaha dari pihak yang menanggung kos pembelajaran muallaf ini kalian bukannya tidak berjaya. Tetapi belum berjaya sepenuhnya. Telah ada hasilnya dan usaha tersebut boleh dibanggakan kerana muallaf ini mereka terus kekal bersama Islam untuk meneruskan kehidupan mereka. Mereka jugalah yang telah banyak membawa ahli keluarga dan rakan-rakan mereka kembali kepada Islam. Merekalah diantara asbab yang Allah ciptakan untuk mengembangkan lagi Islam di Utara Laos ini.


Saya juga telah melihat hasil usaha dakwah lain yang jauh kebelakang berbanding perkembangan di Laos ini walaupun ianya telah diusahakan lebih 30 tahun.


PENGLIBATAN DIRI SECARA LANGSUNG.

Dari pihak diri saya pula, saya bergerak atas kapasiti Pertubuhan Sukarelawan MISI7. Sebuah pertubuhan yang teramat baru ketika itu. Ketika saya ke Laos pada 7 tahun yang lalu, waktu itu MISI7 hanya berusia 1 tahun 2 bulan. Usah kata kewangan, pengurusan pun masih tunggang langgang ketika itu.

Setahun selepas penubuhan MISI7 saya tinggal di utara Thailand (Nong Khai dan Chiang Rai) kira-kira selama 2 tahun lebih. Oleh disebabkan itulah saya berpeluang untuk menerokai lapangan dakwah di utara Laos dan utara Thailand dengan mengikuti ustaz-ustaz yang saya kenali. Mereka fasih berbahasa Melayu kerana berasal dari selatan Thailand. Ketika tinggal di Nong Khai di Yayasan As-Salam, saya mengikuti Ustaz Usman menjalankan aktiviti dakwah beliau di kawasan Esan Thailand serta di Laos (Vientiane dan Oudomxay).

Jadi, penglibatan dan sumbangan MISI7 di Laos ketika itupun amat kecil. Saya hanya mampu membawa sukarelawan untuk melakukan ziarah disana. Duit sumbangan kepada komuniti muallaf di sana tidaklah mampu membawa impak yang besar dalam membantu memberikan bimbingan agama kepada mereka ketika itu. Namun, atas dasar dakwah, saya teruskan sahaja aktiviti menziarahi mereka setiap tahun.


#MISI7InThaiLaos2016

Pasukan sukarelawan yang pertama saya bawa masuk ke sana ialah pada tahun 2016. Ketika itu, kami mengikuti ziarah yang dilakukan oleh kumpulan Ustaz Khossim. Perjalanan ini sangat menarik dan cabarannya amat ‘rare’ bagi diri saya pada masa itu. Iyelah, perkara baru, first time. Mestilah teruja dan banyak perkara yang menarik perhatian.

#MISI7InThaiLaos2016

Perjalanan menggunakan kenderaan persendirian (van Yayasan As-Salam) menjadikannya agak santai. Untuk memasuki kampung tersebut kami menumpang kenderaan pacuan 4 roda yang dibawa oleh rakan-rakan Ustaz Khossim.


Permusafiran yang pertama membawa pasukan sendiri ini banyak mengajar saya untuk mengemudi pasukan lain pada masa akan datang.


Musa, Talhah, Abang Zaki, Farah, Hafizah, Halimah, Zafirah, Afifah, Ain dan Farhana adalah sahabat yang mengikuti permusafiran ini. Suhaila, seorang muallaf dari Pongsaly, Laos yang tinggal di Yayasan As Salam ketika itu turut menyertai permusafiran ini.




#MISI7InThaiLaos2017

Pasukan kedua pula dibawa pada tahun 2017. Tetapi kali ini kami tidak berjaya masuk ke perkampungan muallaf tersebut.


Faktor silap komunikasi dan juga laluan teruk kerana hujan menjadi asbab penghalang.


Di negara Laos, bulan Jun-Oktober ialah musim tengkujuh. Berlakunya bencana banjir adalah perkara biasa disana pada tempoh tersebut.


Alhamdulillah, perjalanan pada kali ini kami tidak menghadapi bencana tersebut. Mungkin asbabnya masih diawal musim ketika itu.


Musa, Rifhan, Fiza dan Farizan adalah sahabat yang mengikuti permusafiran ini.



Pasukan ketiga pada tahun 2018 amat menarik perjalanannya. Walaupun pada permusafiran ini saya telah mula faham dan berkomunikasi bahasa Thai yang difahami oleh orang Laos, namun kebergantungan perjalanan ini dengan pengangkutan awam menjadikan ianya permusafiran yang paling mencabar sehingga ke hari ini.

#MISI7InThaiLaos2018

Sumbangan menerusi orang ramai dan beberapa badan koperat untuk ziarah kali ini agak memberangsangkan berbanding 2 lawatan yang terdahulu dan agihan sumbangan dapat dilakukan dengan lancar.


Ketika permusafiran ini juga saya dibuang kerja oleh majikan yang sebelum ini meluluskan cuti saya. Namun menarik balik cuti tersebut ketika saya berada di Laos dan meminta saya masuk bertugas pada keesokan harinya. Atas kegagalan hadir bertugas saya dibuang kerja. Ketika itu, anak saya Sumayyah baru sahaja berusia 58 hari. Saya pujuk hati, lapangkan dada untuk menerima keadaan tersebut dan bergantung harap pada Allah SWT. Move on…


#MISI7InThaiLaos2018

Dalam perjalanan balik dari misi ini, saya menerima perkhabaran Pakcik Ayub yang sakit dirawat di hospital Vientiane ketika itu telah meninggal dunia. Abang Hilmi, Abang Syahriman, Abang Mat, Ikhwan, Kak Adela dan Azraha adalah sahabat permusafiran ini.


Pada tahun 2018 ini juga MISI7 mula memberi sumbangan elaun mengajar kepada pasangan muallaf Ismail dan Rohana. Ismail adalah anak kepada arwah Pakcik Ayub manakala Rohana berasal dari Pongsaly yang terletak dalam Wilayah Oudomxay juga.


Mereka berdua adalah bekas pelajar yang dihantar ke Batam selama 2 tahun mengikuti pengajian agama disana. Rohana boleh berbahasa Inggeris dan Indonesia. Anaknya, Yaakob yang berusia 5 tahun ketika itu juga boleh berbahasa Indonesia.


#MISI7InThaiLaos2018

Ketika menziarahi Ban Nweng pada tahun 2018, saya mengenali Rohana yang ada di kampung itu. Ketika itu Ismail berada di Vientiane menjaga ayahnya di hospital. Kami hanya sempat memberikan sumbangan mengajar selama 3 bulan. Selepas itu, Ismail dan Rohana terpaksa berpindah ke Vientiane kerana berlaku perselisihan faham dengan ketua kampung yang tidak membenarkan beliau mengajar agama kepada muallaf di kampungnya.


Pasukan keempat ialah pada awal tahun 2019. Hanya sedikit perubahan perjalanan berbanding tahun 2018 iaitu saya menggunakan khidmat kereta pacuan 4 roda dari syarikat pelancongan di sana.


Pada permusafiran ini saya dibantu oleh Pakcik Ibrahim yang tinggal di Oudomxay. Dia adalah orang tempatan yang terawal kembali kepada Islam di Oudomxay. Beliau menjadi penunjuk jalan kepada pemandu kenderaan yang disewa untuk memasuki kampung tersebut.


Alhamdulillah, perjalanan lancar tiada sekatan. Sahabat permusafiran ini hanyalah Ustaz Fahmi. Beliau datang dari Aceh, Indonesia dan menemani saya mencari ibrah permusafiran.


Pasukan sukarelawan kelima saya bawa bermusafir pada tahun yang sama 2019 namun permusafiran ini dilakukan pada hujung tahun iaitu pada bulan Disember yang mana bahagian Utara Laos memasuki musim sejuk dan kering.

Ketua kampung berbaju biru disebelah saya.

Apabila kita ke Utara Laos diantara bulan November-Februari setiap tahun kita akan dapat melihat iklim yang jarang kita lihat dan rasai namun kebiasaan kepada mereka. Yelah, dah tempat mereka kan… Huhuhuhuu~~~


Kebiasaanya suhu dingin yang dicatat diantara 16 sehingga 2 darjah celcius pada musim tersebut. Pada musim tersebut, majoriti penduduk yang sumber pendapatan dan sumber makanan mereka dengan bertani akan menghadapi kesukaran hidup kerana tidak dapat bertani. Arif, Munira, Hafiz dan isterinya Hafizah adalah sahabat permusafiran pada musim sejuk ini. Ini adalah kali kedua Hafizah menyertai permusafiran ke Laos ini, terdahulunya pada tahun 2016.

#MISI7InThaiLaos2019

Impak dari kehadiran pasukan kelima ini ditambah pula dengan sokongan penderma individu dan koperat, saya menerusi MISI7 telah merencanakan untuk mula membuka dana bagi menaja beberapa orang pelajar muallaf dari Oudomxay setiap tahun untuk menangung kos bimbingan agama kepada mereka di Yayasan As-Salam, Nong Khai.


Walaupun dana telah mula terkumpul, namun usaha ini tergendala kerana kekangan pergerakkan akibat penularan wabak COVID-19 diseluruh dunia.


Pada tahun 2020, menerusi MISI7 kami hanya berkesempatan untuk menyalurkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri buat muallaf disana.




#MISI7InThaiLaos2018

BUKAN MASALAH, HANYA CABARAN.

Sejujurnya saya kongsikan disini, disepanjang perjalanan yang telah dilalui, usaha untuk menziarahi saudara kita di Utara Laos ini bukanlah mudah sebenarnya. Sebagaimana dasar tertutup kerajaan komunis Laos dengan kegiatan agama seperti yang saya kongsikan diatas, menyebabkan pergerakan saya dan sahabat-sahabat untuk memasuki kampung tersebut sentiasa dihalang oleh ketua kampung disana.


#MISI7InThaiLaos2018

Ditahan oleh pihak berkuasa disana pada tahun 2018 bukanlah kali pertama yang saya hadapi sebenarnya. Tahun 2016, sebelum dan ketika membawa pasukan sukarelawan juga saya pernah ditahan. Namun ketika itu segala urusan diserahkan kepada Ustaz Usman yang fasih berbahasa Laos.


#MISI7InThaiLaos2019

Namun, bermula tahun 2017 saya sendiri yang membawa pasukan sukarelawan tanpa diiringi oleh Ustaz Usman. Saya mengambil cabaran ini kerana mahu melalui sendiri cabaran bermusafir di negara minoriti muslim.


Alhamdulillah, pada kunjungan bersama pasukan kelima, ketua kampung Ban Nweng telah datang bertemu saya ketika menziarahi komuniti muallaf disana. Dia menyatakan keterbukaan hati menerima kehadiran saya dan pasukan selepas ini. Allah telah melembutkan hati beliau setelah hampir 5 tahun menjadi penghalang utama.


Peluang ini harus diambil dengan teliti dan berterusan untuk menjaga hubungan baik yang baru terbina ini. Terkini pada tahun 2022 saya telah merekodkan kira-kira terdapat seramai 49 orang muallaf dari 10 buah keluarga dalam daerah Muang Houn ini.


Melihat ‘benih-benih’ Islam yang kian mekar di Laos, saya percaya ini hanyalah cebisan sahaja dari nikmat Allah di dunia ini kepada mereka yang berada dalam landasan perjuangan ini malah nikmat yang lebih besar sedang menanti di akhirat kelak. Jaga iman…jaga hati agar sentiasa ikhlas.


Ismail dan Rohana yang sebeluum ini tinggal di Vientiane telah pun balik pindah ke Ban Nweng setelah penerimaan ketua kampung terhadap aktiviti muslim di sana.


Sepanjang tahun 2020 sehingga sekarang telah banyak usaha bimbingan agama kepada muslim disana telah dilaksanakan hasil dari kerjasama diantara MISI7 dan pasangan Ismail-Rohana. KLIK DI SINI untuk melihat perkembangan dari ke semua laporan program bimbingan tersebut.

Adik Yaakob (t-shirt hijau), Pakcik Adam (t-shirt putih), Qamaruddin (t-shirt hitam belakang adik t-shirt kuning)

Bagi saya, tentangan sebelum ini oleh ketua kampung tersebut bukanlah masalah dan ia hanyalah cabaran dan ujian dari Allah kepada saya serta buat sahabat-sahabat yang bersama dalam perjuangan ini. Allah menguji kesabaran dan keikhlasan kita untuk berjuang demi agamaNya. Lebih-lebih lagi kepada diri mereka dan saya sendiri yang telah mewakafkan diri, bermujahadah untuk perjuangan ini…


Dari Luang Prabang.menuju ke Oudomxay.

SEMOGA ISTIQAMAH

Dalam kerja dakwah sebegini, kita perlu memiliki kesabaran yang amat tinggi untuk melihat hasilnya. Besar juga kemungkinan saya sendiri tidak sempat melihat hasilnya didunia ini, namun in sha Allah diberi kesempatan di akhirat kelak. Usaha kita memberikan bimbingan agar iman di hati mereka tumbuh segar dengan akar umbi yang kuat, bukanlah usaha yang memerlukan tempoh masa yang singkat.

Ustaz Usman disebelah kanan saya.

Mungkin 10 tahun, 20 tahun, 50 tahun atau lebih...hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Dialah sebaik baik perancang. Generasi yang mereka ada sekarang usah diletak harapan dan tekanan terlalu tinggi. In sha Allah usaha ini, hasilnya boleh dilihat pada anak cucu cicit mereka nanti. Semoga pejuang-pejuang dilandasan ini sentiasa istiqamah.


Saya amat mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja yang mahu mengikuti saya bersama MISI7 untuk melakukan ziarah dan sumbangan bantuan kepada muallaf di Laos pada masa akan datang.

#MISI7InThaiLaos2018: Menaiki tuk-tuk di Oudomxay untuk ke stesen bas yang akan ke Muang Houn.

Inilah tujuan saya membuat catatan ini, untuk djadikan rujukan kepada sesiapa sahaja yang akan Allah hantar untuk menyambung kerja-kerja dakwah ini andai kata saya tidak lagi berada di dunia ini. Selain itu juga, semoga perkongsian ini membawa manafaat kepada pembacanya.

Kepada nama sahabat-sahabat yang saya nyatakan pada catatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana telah bersama-sama saya bermusafir pada jalan Allah ini. Bukan sahaja kerana menemani ketika bermusafir, malah kalian banyak mengajar saya secara langsung dan tidak langsung. Secara kasar mahupun halus, kalian adalah sebahagian dari ibrah permusafiran hamba Allah yang kerdil dan serba kekurangan ini. Maafkan saya sekiranya ada kesilapan yang saya lakukan. Doakan saya agar terus istiqamah.


Begitu juga dengan penerima manafaat di Laos, kalian sebenarnya banyak mengajar saya tentang kehidupan dan cara mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Zahirnya kelihatan kalian yang dibantu namun hakikatnya, kalian telah banyak membantu saya. Sebahagian pembelajaran yang kalian tunjukkan in sha Allah akan terus berada berada dalam diri saya - sang musafir pemburu jiwa hamba.


Semoga kita terus saling melengkapi sehingga ke syurga.


Terima kasih saya ucapkan kepada sahabat-sahabat yang sudi membaca coretan saya ini sehingga penghabisannya. :)


Setiausaha

Pertubuhan Sukarelawan MISI7



Butiran Dana Bimbingan Asnaf Mualaf Utara Laos, KLIK DISINI.


KLIK DISINI untuk membaca catatan perjalanan oleh Sukarelawan #MISI7InThaiLaos2019





762 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page