top of page
Search
  • Writer's pictureinfomisi7

Catatan Sukarelawan #MISI7InSabah2020

Updated: Sep 25, 2020


HARI PERTAMA (03/01/2020)

Kami bertiga iaitu saya (Sis Zailawati), Bro Hairul dan Bro Faizzuddin berkumpul di KLIA2 pada pukul 3.00 pagi dan kami terlebih dahulu berbincang mengenai program yang akan dilakukan disana dengan lebih mendalam. Rombongan kami bertolak dari KLIA2 dengan pesawat AirAsia jam 5.45 pagi dan tiba di lapangan terbang Kota Kinabalu jam 8.30 pagi.



Setelah selesai dengan urusan di imigresen, kami terus menuju ke ke pintu keluar untuk mengambil kereta sewa pandu sendiri. Sementara menunggu kereta tiba, Bro Hairul melakukan rakaman video pertama untuk misi ini yang mana slot tersebut diberikan kepada Bro Faizuddin untuk melakukan penerangan program.


Pada pukul 9.00 pagi kami bertolak ke Kudat. Di dalam perjalanan ke tempat penginapan kami, kami sempat singgah ke The Tip of Borneo atau lebih dikenali dengan panggilan Tanduk Sabah. Kami sampai disana adalah pada pukul 1.40 petang.





Kawasan yang cukup dramatik ini menggambarkan penghujung barat laut tanah Borneo. Tanjung yang terletak di Semenanjung Kudat, kira-kira tiga jam setengah pemanduan atau sejauh 215 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu.


Diterjemahkan sebagai ‘Simpang yang berpanjangan’, Simpang Mengayau menjanjikan pemandangan memukau yang melepasi Laut China Selatan. Alam semula jadinya cukup mempesonakan dengan pecahan batuan pasir yang membentuk pusaran dan tetingkat. Anda juga dapat menyaksikan rumah api di Pulau Kalampunian. Di sebelah kiri anda dapat menyaksikan Pantai Kalampunian, iaitu pantai yang tercantik di Kudat. Kesemua tarikan ini memerlukan sedikit tenaga kerana anda kena berjalan untuk pergi ke tempat ini.



Setelah selesai mengambil gambar sebagai kenangan tiba di sini, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pekan Kudat, kami bergerak pada jam 2.30 petang. Kami sampai ke pekan Kudat jam 3.15. Sebelum daftar masuk hotel, kami mengisi perut dulu, makan pagi merangkap makan tengahari. Masing-masing kelaparan, setelah menempuh perjalanan dari kota Kinabalu ke Kudat selama hampir 4 jam.


Kami daftar masuk daftar masuk hotel pada pukul 4.30 petang, mandi, solat dan rehat.

Malamnya kami sempat solat berjemaah di Masjid Kudat sebelum mengadakan perjumpaan dengan 2 wakil sukarelawan MISI7 dari Sabah iaitu Sis Umi Saidatul dan Bro Yusri. Perjumpaan ini kami diberikan taklimat dan berbincang mengenai program untuk hari kedua.




HARI KEDUA (04/01/2020)

Tugasan kami yang pertama di Sabah adalah menyampaikan amanah bantuan persekolahan kepada para pelajar asnaf di Pulau Banggi, iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Karakit. Sukarelawan yang terlibat pada hari kedua ini adalah seramai 5 orang, yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 perempuan.


Pulau Banggi berstatus daerah kecil mempunyai 90 kampung dengan penduduk terdiri daripada suku kaum Banggi, Ubian, Kagayan, Bajau Laut dan Suluk. Pulau Banggi juga merupakan pulau terbesar di Malaysia.


Kami bergerak dari hotel penginapan pada pukul 7.30 untuk ke Pulau Bangi. Feri merupakan pengangkutan utama untuk kesana. Hotel kami ke Terminal Feri Kudat hanya mengambil masa dalam 10 minit perjalanan menaiki kereta. Kadar tambang feri adalah di antara RM20, RM23 dan RM 28 mengikut kategori tempat duduk. Perjalanan pula mengambil masa kira-kira sejam dengan jadual perjalanan dua kali sehari iaitu pada jam 8 pagi dan 2 petang dari Pulau Banggi ke Kudat, manakala jam 9 pagi dan 2.30 petang dari Kudat ke Pulau Banggi.

Sebelum menaiki feri, kami bersarapan dahulu di kedai yang berdekatan. Tepat jam 9.00 pagi kami bertolak ke Pulau Banggi. Perjalanan selama satu jam dengan feri tidak terasa sekejap sahaja kerana sepanjang perjalanan itu kami di sajikan dengan pemandangan yang amat cantik, laut yang membiru begitu mempersonakan.







Kami tiba di Pulau Banggi pada jam 10.15 pagi dan disambut oleh beberapa orang guru dari Sekolah Rendah Kebangsaan Karakit. Kami terus di bawa ke lokasi di mana agihan sumbangan di lakukan iaitu SK Karakit. Para pelajar asnaf yang akan menerima sumbangan telah sedia menunggu kedatangan kami. Tanpa membuang masa, kami terus memulakan acara pengagihan sumbangan. Majlis dimulai dengan bacaan doa dari Bro Yusri salah seorang sukarelawan. Seramai 50 orang pelajar asnaf menerima sumbangan beg dan pakaian sekolah.







Majlis agihan tersebut tamat pada pukul 11.30. Selepas itu kami terus memulakan aktiviti ke dua iaitu meziarah ke rumah pelajar asnaf yang dibawa oleh cikgu di situ.


Pelajar pertama ialah Nur Ain Hayron. Pelajar ini tinggal di rumah atas air. Kehidupan Nur Ain Hayron amat sukar sekali, dengan ayahnya hanya bekerja sebagai nelayan, dan emak pelajar ini 9 tahun tidak dapat berjalan. Dia mempunyai 9 orang asik beradik.


Ziarah Asnaf ke dua pula ialah kerumah pelajar Nur Hidayu. Pelajar ini tinggal di penempatan sementara, kerana kediaman asal telah musnah dalam satu kebakaran yang telah mengemparkan Malaysia.Penempatan sementara ini, terlalu sempit dan kecil, amat tidak sesuai untuk anak-anak ini membesar. Kebakaran ini telah memusnahkan 81 buah rumah termasuk kuarters guru. Kejadian berlaku pada 13 Januari 2019.





Kami hanya sempat melawat 2 kediaman sahaja, kerana kami perlu mengadakan perbincangan program lanjutan dengan guru disitu dan menaiki feri yang terakhir pada jam 2 petang. Walaupun hanya sempat melawat 2 buah rumah dengan masa yang terbatas, daripada pemerhatian kami dan juga maklumat dari cikgu serta penduduk awam disini kami sudah dapat melakukan penilaian asnaf dan komuniti untuk penambahbaikkan program ini pada masa akan datang. Menerusi perbincangan dengan cikgu Suria serta segala info mengenai pelajar di Pulau Banggi ini, semoga program akan datang, dapat memberi manfaat kepada semua pelajar asnaf disini






Sebelum menaiki feri para sukarelawan sempat mengambil foto untuk simpanan dan kenangan. Rakaman video berkenaan program ini juga dilakukan disini yang mana Sis Umi pula diberikan slot untuk melakukan temuramah. Kami menaiki feri untuk pulang ke Kudat pada pukul 2.30. Sampai ke kudat pada jam 3.40 petang. Kami terus ke sebuah restoran di pekan Kudat untuk makan tengahari. Sambil makan kami sempat berbincang mengenai aktiviti pada hari ini dan juga program yang akan dilakukan keesokan harinya.


Setelah selesai, kami terus pulang ke hotel untuk mandi, solat dan rehat. Pada jam 6.00 petang, sukarelawan lelaki keluar bersolat di Masjid. Dan pada jam 7.00 malam kami keluar makan malam sambil kami berborak santai.



HARI KETIGA (05/01/2020)

Lokasi program kami pada hari ini adalah di Kampung Penggaraban ,Kudat. Sukarelawan yang terlibat pada hari ketiga ini juga seramai 5 orang, yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 perempuan.

Seperti biasa, kami bersolat berjemaah di masjid berdekatan. Kami check out pada pukul 6.30 pagi. Sebelum memulakan tugasan yang diamanahkan, kami mencari sarapan terlebih dadulu. Hari ke tiga ini, kami ingin mencuba sarapan di gerai-gerai tepi jalan. Alahamdullilah sarapan kami pagi ini hanya ala kadar, sekadar kuih kuih yang di jual di tepi jalan.

Selepas menikmati sarapan, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke lokasi program. Kami sampai di kampung Penggaraban pada jam 7.40 pagi. Ini merupakan hari terakhir misi bantuan untuk golongan asnaf di Sabah pada kali ini.




Sesampai disana segala persiapan telah di buat oleh penduduk kampung. Mereka telah sedia menunggu kedatangan kami. Kedatangan kami disambut dengan senyuman yang manis dan terpancar kegembiraan pada wajah kanak-kanak disini. Bro Yusri diberikan slot untuk rakaman video program pada hari ini. Beliau memberikan penerangan latarbelakng penerima manafaat serta masyarakat setempat.




Tanpa membuang masa kami memulakan acara pembahagian bantuan kepada 50 orang pelajar asnaf. Agihan adalah sama seperti hari kedua, iaitu berupa pakaian sekolah dan beg sekolah.

Sebelum memulakan acara pembahagian , majlis dimuliakan dengan pembacaan doa oleh Bro Yusri. Pada pukul 8.00 pagi, pendaftaran penerima manfaat dimulakan, dengan dibantu oleh sukarelawan. Seterusnya pada pukul 8.30 penyerahan sumbangan kepada pelajar asnaf dimulakan.




Kerjasama dari para pelajar dan juga ibu bapa menjadikan majlis ini berjalan dengan lancar. Majlis penyerahan sumbangan bantuan persekolahan ini selesai pada pukul 9.15 dengan bantuan oleh semua pihak. Alhamdullilah berjalan dengan lancar. Seterusnya sebelum bersurai, sesi fotografi dilakukan dengan pelajar ini. Majlis tamat pada pukul 9.30 pagi.





Sebelum kami bergerak ke destinasi seterusnya , kami diiringi ketua kampung melawat sekitar perkampungan atas air ini. Semasa kami melawat sekitarnya, kami disapa oleh penduduk kampung, dan mereka mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Kami sukarelawan MISI7 hanya sebagai orang tengah menyampaikan bantuan daripada para penderma kepada yang berhak.


Setelah selesai lawatan ke perkampungan dan bersalaman dengan ketua kampung dan beberapa orang penduduk, kami meminta izin untuk meneruskan perjalanan kami. Kami para sukarelawan juga berpecah kepada dua kumpulan. 2 orang sukarelawan yang berasal dari Sabah, kembali ke rumah mereka. Kami bertiga meneruskan perjalanan ke Kundasang.



Kami bertolak ke Kundasang pada pukul 10.00 pagi. Perjalanan kami dari Kudat ke Kundasang mengambil masa 3 jam. Walaupun jarak perjalanan agak lama, tapi kami disajikan oleh pemandangan yang amat cantik.


Dalam perjalanan kami singgah di gerai tepi jalan iaitu di Kota Marudu untuk membeli buah. Antara buah yang kami beli ialah buah Tarap. Buah ini hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak sahaja. Kali pertama kami bertiga dapat menikmati buah Tarap ini. Alahamdullilah rasanya cukup sedap.


Disepanjang perjalanan juga kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto berlatar belakang gunung Kinabalu. Kami tiba di Kundasang pada pukul 1.15 petang. Sebelum daftar masuk tempat penginapan, kami bergerak menuju ke BW Bus Restoran, tetapi kami kecewa kerana jalan menuju ke sana ditutup kerana adanya kerja-kerja pembinaan. Kami terpaksa berpatah balik dan terus menuju ke tempat penginapan.


Tempat penginapan kami adalah di Ren-Hana Kampung Homestay. Alhamdullilah, penginapan kami selesa dan berdekatan dengan pekan Kundasang. Kami bersihkan diri dan rehat. Pada pukul 2.30 petang, kami keluar ke pekan dan bersolat di masjid di sana. Selesai solat kami makan di restoran di perkarangan masjid tersebut.

Sambil makan kami berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan di Kundasang. Kerana waktu tersebut sudah lewat petang, kami sebulat suara bersetuju pergi ke War Memorial dan mencuci mata di pasar pekan Kundasang.


Kami sampai ke War Memorial pada pukul 3.55 petang. Tiket untuk masuk adalah Rm3 untuk warganegara, manakala untuk warga asing adalah Rm10. Di pasar , kami sempat membeli makanan untuk di makan di tempat penginapan kami, sebagai makan malam.

Kami kembali ke tempat penginapan pada pukul 5.15 petang. Sebelum masing-masing masuk bilik dan berehat, kami bersembang dan makan buah-buatan serta makanan yang di beli di pasar.




HARI KEEMPAT (06/01/2020)

Hari ini merupakan hari terakhir kami sukarelawan MISI7 berada di Sabah. Seawal 6.30 pagi sudah berkumpul untuk check out. Memang kami sudah berpakat untuk keluar awal pagi untuk melihat pemandangan Gunung Kinabalu, kalau tak akan terlepas.


Sementara menunggu pekerja tempat kami menginap datang untuk mengambil kunci bilik, kami mengambil peluang menghirup cuaca pagi sambil menikmati pemandangan disini. Pemandangan di sini tidak kurang hebatnya, cantik sangat ciptaan Allah SWT.


Tepat jam 7.00 pagi kami daftar keluar. Kami teruskan perjalanan menuju ke Desa Dairy Farm. Kalau datang ke Kundasang , memang tidak lengkap kalau tidak singgah di Desa Dairy Farm. Di antara kami bertiga, hanya bro Faiz sahaja belum pernah datang ke Kundasang. Desa Dairy Farm dibuka pada jam 8.00 pagi. Kami sampai disini pada pukul 7.15 pagi. Sebelum kaunter tiket di buka kami sempat mengambil gambar dan melakukan rakaman video. Alhamdullilah, cuaca pada pagi ini berpihak kami, awan tidak menutupi pemandangan gunung Kinabalu, memang nampak cantik.




Tiket masuk adalah RM5.00 untuk seorang. Tidak perlu susah payah untuk turun dari kereta,sebab boleh beli terus dari kaunter. Disini tidak perlu untuk bawa kereta laju-laju , nikmati pemandangan kawasan sekitar. Sepanjang jalan, kita akan melalui pagar berwarna putih, dan dapat melihat lembu yang dibiarkan meragut rumput. Lembu disini ‘ rare’ kerana corak warnanya seakan lembu yang ada di New Zealand. Dengan latarbelakang padang rumput hijau dan pemandangan Gunung Kinabalu dibelakang, ianya adalah pemandangan yang cukup sempurna bagi pecinta alam semulajadi.


Kesempatan berada disini juga kami mengadakan 2 sesi rakaman video yang mana saya sendiri diberi slot untuk menceritakan manafaat yang diperoleh dari permusafiran kami di negeri bawah bayu ini. Bro Faizuddin juga diberi peluang yang sama.



Apabila sudah puas pusing-pusing di luar, kami masuk bahagian dalam pula. Dalam ini kita boleh dapatkan informasi tentang cara menternak lembu, proses menghasilkan sus, dan juga boleh mendapatkan produk berasaskan susu seperti aiskrim dan susu yang pelbagai rasa. Di sini juga kita boleh cuba pengalaman beri makan rumput dan memberi susu (menggunakan botol) kepada lembu dan juga kambing.



Kami berada disini lebih dari satu jam. Pukul 9.40 kami bergerak ke Kota Kinabalu. Di dalam perjalanan kami singgah makan di warung dekat Sepanggar. Istimewanya disini ialah, kami makan lokan bakar. Tak salah kalau saya katakan warung lokan bakar ini adalah satu destinasi yang mesti dikunjungi kalau datang ke Sabah. Harga adalah berbeza mengikut saiz. Selain lokan bakar, menu yang istimewa ialah puding dalam kelapa muda dan kelapa bakar. Tidak rugi mencuba menu-menu ini. Rasanya memang sedap.



Setelah puas menikmati hidangan lokan bakar, jam 11.40 pagi kami meneruskan perjalanan. Kami tiba di Kota Kinabalu sekitar jam12.30. Kami terus singgah ke Masjid Bandaraya Sabah. Kami sampai ke sini, betul-betul waktu Solat Zohor. Tanpa membuang masa, kami menunaikan solat disini.


Kami sempat berehat seketika di perkarangan masjid setelah selesai menunaikan solat. Kami bergerak dari Masjid Bandaraya lebih kurang pukul 2.30 petang. Destinasi seterusnya ialah Muzium Sabah.


Kami sampai ke muzium pada pukul 2.40 petang. Tiket masuk adalah RM3.00 untuk seorang. Muzium ini adalah muzium yang paling unik di Malaysia kerana ia bukan sahaja memuatkan artifak bersejarah tetapi juga kampung budaya dan taman herba dalam satu kompleks. Banyak maklumat yang kami dapati disini.


Kami meninggalkan muzium dalam pukul 3.40 petang. Kami terus bergerak ke Pasar Filipina. Tempat yang wajib jika datang ke kota Kinabalu Sabah. Di sini pelbagai barangan boleh dapat, iaitu kraftangan, perhiasan, hasil laut dan juga buah-buahan.


Kami tiba pada jam 4.15 petang. Kami tidak melepaskan peluang untuk membeli belah sebelum balik ke semenanjung. Antara barangan yang kami beli ialah amplang, ikan bilis, kain batik Sabah dan barang perhiasan.


Selesai membeli belah, melakukan rakaman video terakhir program yang dihoskan oleh Bro Hairul untuk isi penutup. Rakaman tidak mengambil masa yang lama. Setelah selesai kami memilih untuk makan di Medan Selera. Kawasan medan selera ini atas sikit dari Pasar Filipina. Menu kami ialah, ikan bakar, sotong masak sambal dan udang masak butter. Rasanya Alhamdullilah sedap. Licin kami makan.



Sambil makan kami menikmati pemandangan di situ. Sehingga tidak sedar waktu hampir pukul 6.00 petang. Setelah selesai membayar makanan,kami bergegas bergerak menuju ke lapangan terbang kota Kinabalu. Penerbangan kami adalah pada pukul 10.25 malam.


Kami sampai di Lapangan terbang hampir jam 7.00 petang, kerana jalan yang sesak.

Pada pukul 7.30 kami daftar masuk beg. Setelah selesai urusan daftar masuk beg, kami menunaikan solat. Sebelum tibanya waktu ‘boarding’, kami bertiga menghabiskan waktu yang masih ada dengan berbual-bual, bercerita, terutamanya mengenai pengalaman kami sepanjang 4 hari ini. Menjadi pengalaman yang cukup berharga dan menginsafkan dengan melihat sendiri kepayahan hidup golongan asnaf disini.


Kami ‘boarding’ lewat 15 minit. Kami pulang dengan membawa kenangan dan pengalaman yang amat berharga. InsyaAllah kami akan kembali lagi.



Catatan oleh,

Sukarelawan MISI7

4-6 Januari


KLIK DISINI untuk membaca laporan penuh program ini.



850 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page