top of page

TENTANG SUKARELAWAN MISI7: 

 

Dalam khidmat sukarelawan, impaknya pada sukarelawan itu sendiri akan mendorong manusia untuk terus hidup secara bermasyarakat dan berkongsi ukhuwah serta kasih sayang.

​

Hakikatnya para sukarelawan adalah insan-insan berbudi dengan ikhlas kerana Allah SWT. Sebahagiannya tidak ingin dikenali dan tidak ingin mencari publisiti, bahkan menaburkan jasa yang meninggalkan kesan abadi pada jiwa-jiwa manusia lain. Semoga kita semua dikurniakan keteguhan istiqamah dilapangan kemanusiaan ini.

​

Secara khususnya, dari sudut pandangan Islam, sukarelawan bermakna memberi khidmat bakti kepada manusia lain dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT, menjaga sahsiah yang baik dan memelihara batas-batas syara’. Islam menggalakkan akan khidmat sukarelawan melalui ayat al-Quran yang merujuk konsep fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.

​

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh. (Surah Al-Imran : 114)

​

Berdasarkan ayat ini, asas-asas utama yang perlu dititikberatkan dalam kerja-kerja kesukarelaan ialah memelihara hubungan yang rapat dengan Allah SWT (hablu min Allah) dan, pada waktu yang sama, memelihara hubungan sesama manusia (hablu min ‘an nas). Islam menekankan pentingnya ruh pengorbanan (ruh al-tadhhiyah) wujud dalam diri seorang muslim dan inginkan balasan pahala di akhirat kelak. Dengan kekuatan ruh ini, seorang muslim akan lebih bersedia untuk membantu dan membela golongan yang terbiar, tertindas dan memerlukan bantuan.

​

Sebagai sukarelawan muslim, adalah penting memberikan khidmat dengan ikhlas kerana Allah SWT, menjaga akhlak, menjaga sahsiah Islam, memelihara batas-batas syara’ dan membawa misi da’wah Islam.? ....

Pada asasnya untuk menjadi sukarelawan muslim sejati tidak memerlukan kemahiran yang khusus. Apa yang penting ialah niat yang ikhlas kerana Allah SWT, keazaman yang tinggi, komitmen yang kuat dan bersedia untuk belajar. Namun, untuk memberikan khidmat kesukarelawan yang spesifik, maka sukarelawan perlu dilatih khusus seperti latihan pertolongan cemas dan latihan paramedik. Persediaan yang perlu ada pada sukarelawan juga ialah kesediaan untuk bekerja dan berkhidmat secara berpasukan. Ini kerana kerja² yang sukar dan mencabar berkehendakkan kepada kemampuan berkerja secara berpasukan yang tinggi, yang berasaskan keimanan dan ukhuwah.

 

Persediaan berkaitan akhlak sangat penting untuk difahami dan dihayati merujuk pada pesanan Rasulullah SAW ini: "Sesungguhnya aku tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Albani, Al-Silsilah As-Sahihah, halaman 45)

​

Allah SWT telah mempersiapkan pada diri Rasulullah SAW dengan akhlak yang tinggi menerusi firman-Nya:
Dan sesungguhnya kamu benar-benar berakhlak agung. (Surah al-Qalam: 4)

​

Antara tanggungjawab yang besar bagi para pendidik untuk bekerja bersungguh-sungguh dan mengembleng sifat kreativiti bagi mewujudkan wasilah dan suasana tarbiah yang sesuai untuk mendidik para sukarelawan ke arah mencapai kemuliaan akhlak yang komprehensif. Skop kerja sukarelawan dalam Islam tidaklah terbatas dengan apa yang sering difahami oleh sebahagian anggota masyarakat seperti  mencuci masjid dan membantu orang miskin. Skop kerja sukarelawan dalam Islam meliputi perkara berikut:

 

1. Memberi kefahaman dan kesedaran Islam kepada masyarakat melalui bimbingan, tunjuk ajar dan kecontohan akhlak yang mulia supaya masyarakat kembali memahami dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

​

2. Menyatukan masyarakat yang dipisahkan oleh pelbagai jurang seperti jurang ekonomi, jurang ilmu dan jurang pangkat, di atas asas iman kepada Allah Subhanahuwata‘ala, persaudaraan Islam dan tolong menolong. 

 

Firman Allah SWT:

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." (Surah Al-Maidah : 2)

​

3. Memberikan sumbangan ekonomi kepada golongan yang memerlukan bantuan, terutama untuk tujuan memenuhi keperluan asas hidup. Di samping itu mendidik golongan itu supaya mampu berdikari mencari nafkah hidup sendiri.

 

4. Memberi pendidikan kepada masyarakat supaya lahir masyarakat berilmu, terutama ilmu yang boleh menyampaikan manusia kepada matlamat kewujudannya untuk beribadah kepada Allah SWT.

​

5. Membantu golongan asnaf yang sering terpinggir seperti warga tua, janda miskin, orang kurang upaya, fakir miskin, muallaf dan anak yatim.

 

6. Memberi bantuan kepada golongan yang tertindas dan terzalimi seperti mangsa peperangan dan sebagainya.

 

7. Memberi bantuan kepada mangsa malapetaka seperti mangsa banjir, mangsa gempa bumi, tsunami dan sebagainya.

 

8. Menjadi tali penghubung dan pemudahcara bagi golongan yang dermawan dan para penyumbang. Dalam konteks ini para sukarelawan mewujudkan pusat pengumpulan wang dan pelbagai barangan bantuan, kemudian menyampaikannya kepada pihak yang memerlukan bantuan.

 

9. Memberi kesedaran dan pendidikan komuniti dalam pelbagai bidang, seperti pembangunan belia soleh dan solehah, pemeliharaan alam sekitar, kesedaran pengguna, memerangi penyalahgunaan dadah, anti merokok, kesedaran tentang kanser dan memelihara kesihatan serta kecergasan.

 

10. Mengadakan program² tarbawi demi menyelamatkan masyarakat daripada berpeleseran dan membuang seperti mengadakan perkhemahan, rekreasi, ekspedisi, sukan, kesenian Islam, lawatan, pameran dan sebagainya.

 

11. Menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan dan perubatan, terutama kepada golongan asnaf.

 

12. Menyediakan khidmat nasihat undang² percuma untuk mereka yang memerlukan.

 

13. Menyediakan khidmat bimbingan kaunseling percuma untuk mereka yang memerlukan.

 

14. Membina institusi-institusi kebajikan seperti rumah jagaan anak yatim dan miskin, dan pusat membela golongan muallaf.

 

15. Membina institusi pendidikan untuk mendidik golongan miskin dan golongan yang memerlukan pembelaan.

 

Sukarelawan perlu menghayati pesanan² Rasulullah SAW:

 

"Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat Ibn Hibban)"

 

"Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya. (Riwayat Muslim)" 

​

Hakikatnya, kerja kemanusiaan adalah sebahagian daripada rantaian dakwah dan kita adalah sebahagian daripada mata rantaian tersebut yang menjadi salah satu dari penyambung perjuangan tersebut.

​

Pernah dipersoalkan kenapa MISI7 memberi fokus bantuan kemanusiaan terutamanya dalam bidang pendidikan kepada banyak negara Asean sedangkan di negara kita sendiri masih ada banyak kekurangannya.

 

Jadi jika di Malaysia, andai dilontarkan seketul batu ke langit, pasti batu itu akan ada yang hinggap di kepala seorang ustaz/guru atau anak kepada seorang ustaz/guru atau bapa kepada seorang ustaz/guru atau jiran kepada seorang ustaz/guru atau di daerah tidur bangunnya seorang ustaz/guru. Demikianlah kewujudan kita diantara ramainya para alim ulama & orang yang berilmu.

​

Negara kita inj jauh lebih mewah jika diukur dari segi pendidikan,  ekonomi & pembangunan, baik siasah serta muamalah. Bagi yang telah biasa ke negara mundur pasti akan merasa bertuahnya kita memiliki tanah air yang bernama Malaysia. Mungkin sebelum menilai atau membuat andaian tertentu, apa kata turun sekali kelapangan untuk dapatkan gambaran yang lebih jelas?

​

JIKA, satu ketika dahulu sahabat Rasulullah SAW tidak keluar dari Mekah ataupun bumi Madinah untuk menyebarkan Islam, mungkinkah hari ini kita sudah pun Islam atau masih menyembah berhala? Ketika itu juga Mekah & Madinah sendiri masih belum siap sempurna, belum semua manusia menerima syahadah. Bahkan sehingga ke hari ini pembangunan akhlak masih berterusan diperbaiki. Dalam khidmat kemanusiaan ini, bukan jarak atau lokasi tertentu yang menjadi penanda aras dalam usaha bantuan kita, tetapi IMPAK kepada usaha yang dilakukan. Impak memerlukan fokus, masa dan istiqamah yang tinggi.


MISI7 meletakkan bantuan pendidikan sebagai fokus utama sebagai bentuk saluran bantuan dilapangan kemanusiaan ini. Manakala, lapangan kemanusiaan juga adalah salah satu cabang dakwah didalam Islam. Dakwah didalam Islam bukan hanya untuk orang Islam. Begitu juga didalam khidmat bantuan kemanusiaan, kita tidak meletakkan had kepada agama & bangsa tertentu. Lapangan khidmat kemanusiaan ini terlalu luas untuk kita terokai.

​

Perjuangan ini adalah untuk memastikan lapangan kemanusiaan ini tidak ketandusan pejuang² yang sedar & peka betapa pentingnya nilai² kemanusiaan dalam kehidupan. Inilah sebabnya kita berada disini hari ini. Sebagai pejuang kemanusiaan. Semoga usaha kita dalam menyalurkan bantuan sentiasa dipermudahkan oleh Allah, dinilai sebaiknya disisi Allah sebagai saham akhirat untuk kita. Bukan semata mata untuk pernilaian dimata manusia.

 

Wallahualam.

​

Penulisan oleh:

Hairul Nazmeiy Salleh,

Setiausaha.

​

bottom of page