top of page
Search
  • Writer's pictureinfomisi7

Catatan Sukarelawan #MISI7inThaiLaos2019

Updated: Sep 25, 2020

Bismillahirrahmanirrahim...


Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Alhamdulillah, walaupun tahun 2019 hampir melabuhkan tirainya, MISI7 masih gagah memacu jenteranya menusuri denai dan kelok bagi menyantuni kominiti masyarakat Islam minoriti di bumi asing.


Bagi misi musim sejuk utara Thailand dan Laos kali kelima ini, alhamdulillah saya diberikan peluang untuk turut serta menimba pengalaman dan bergerak kerja bersama 3 orang lagi sukarelawan dan Setiausaha MISI7, Encik Khairul (lebih mesra dikenali dengan panggilan Bro Hairul) selama 8 hari 7 malam.


Oleh sebab ini ialah kunjungan MISI7 yang kelima ke empat buah institusi penerima manfaat ini, fokus jentera sukarelawan kali ini ialah untuk menyampaikan bantuan wang tunai atau kelengkapan persekolahan kepada pusat dan komuniti muallaf serta mengadakan penilaian terhadap perkembangan penerima manfaat seiring bantuan yang telah disalurkan terhadap mereka dalam siri kunjungan sebelum ini.


Secara peribadinya, konsep kesukarelawan inilah yang telah menarik minat saya untuk kembali mengikuti program MISI7 untuk kali kedua, selepas berkenalan dan ‘jatuh cinta’ semasa mengikuti misi di Lombok pada tahun lepas. Semasa masih bergelar mahasiswa, saya juga banyak terlibat dalam program kesukarelawanan yang dianjurkan oleh organisasi-organisasi berbeza. Namun, melalui pemerhatian saya, banyak program ziarah dan sumbangan ini dilakukan mengikut musim dan hanya dilakukan sekali sahaja. Selepas kunjungan untuk menyampaikan sumbangan dan bergambar dengan penerima manfaat, kami pun tersenyum bangga dan pulang dan senang hati, sedangkan bantuan kecil itu cuma dapat meringankan beban mereka seketika.


Lain pula halnya dengan MISI7. Walaupun saya percaya ada beberapa organisasi lain yang turut komited menjaga kebajikan penerima manfaat di kawasan khidmat masing-masing, konsep MISI7 yang mengangkat peranan sukarelawan untuk menilai situasi semasa di tempat-tempat dan komuniti-komuniti yang dikunjungi amatlah wajar dipuji kerana dari sinilah satu keputusan yang telus dibuat, yang akan menentukan kesinambungan atau perubahan bentuk dan kaedah bantuan MISI7 terhadap mereka pada masa akan Datang. Jadi, ayuhlah sertai program-program MISI7 dan rasai sendiri perbezaannya.

19 Disember 2019

Permusafiran kami berlima bermula pada 19 Disember 2019. Walaupun saya baru sahaja pulang dari permusafiran di Eropah pada tengah hari sebelumnya, rasa semangat berkobar-kobar mengatasi kepenatan dan ‘jet lag’. Seawal 3.00 pagi lagi kami telah berkumpul di KLIA2 bagi mendengar taklimat berkaitan perjalanan program. Sambil mendengar taklimat daripada Bro Hairul, saya imbas satu persatu wajah peserta lain yang baru kali pertama saya temui. Bro Arif, Sis Hafizah dan Bro Hafiz.


Selesai taklimat pada jam 4.05 pagi dan daftar masuk, satu perkara luar jangkaan telah berlaku. Passport Sis Hafizah rupa-rupanya telah hampir tamat tempoh. Beliau tidak perasan sebab tahun hadapan tu terasa masih lama. Sebenarnya memang sudah terlalu suntuk, sebab tarikh luputnya itu pada bulan Januari. Dalam situasi tersebut, Sis Hafizah ada dua pilihan; pertama, beliau terpaksa batalkan perjalanan, atau kedua, pergi ke mana-mana pejabat imigresen terdekat untuk perbaharui passport, beli tiket baru ke Bangkok dan menaiki bas ke Nongkhai untuk bertemu dengan kami pada hari kedua.


Kalau saya sendiri berada di tempat Sis Hafizah pada waktu itu, belum tentu saya dapat jadi setenang beliau. Selepas beliau berbincang dengan suami (Bro Hafiz), mereka telah ambil keputusan untuk teruskan perjalanan. Alhamdulillah, kami semua memang tarik nafas lega. Maka kami pun berpisah disana, dan berjanji akan bertemu semula di Nong Khai nanti.

Pada jam 6.10 pagi, bermulalah perjalanan kami berempat menuju ke Laos. Masa yang ada di dalam penerbangan diisi dengan melelapkan mata dan tanpa disedari, kami telahpun selamat mendarat di lapangan terbang Vientiane.


Vientiane, ibu negara Laos yang terletak di tebing Sungai Mekong, bersempadan dengan Thailand. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem komunis, kebebasan beragama di sini amatlah terhad. Agama tidak boleh diajar diluar rumah ibadat, manakala individu luar tidak dibenarkan bermalam di rumah penduduk tempatan, menjadikan tugas penyebaran Islam di sini amatlah mencabar.


Hal ehwal Islam di Laos hari ni berada di bawah pengurusan komuniti Pakistan yang menguruskan masjid dan pusat mualaf. Kesemua pergerakan dan program individu dan organisasi luar dalam menyantuni masyarakat Islam Laos termasuklah untuk membina masjid di kawasan pedalaman harus melalui pihak mereka. Masalah birokrasi ini agak menyulitkan kerja-kerja da’ie dan organisasi sukarelawan dari Thailand dan Malaysia kerana ia melibatkan banyak proses, peningkatan kos dan ketidaktelusan dipelbagai peringkat.


Namun begitu, MISI7 tidak patah semangat untuk terus cuba meneruskan kegiatan kesukarelawan di Laos. Dengan kerjasama da’ie yang berpusat di Yayasan As-Assalam di Nong Khai, kini MISI7 mempunyai dua komuniti penerima manfaat tetap di Laos yang akan dikunjungi pada setiap kali misi kembara amal luar negara.



Kembali kepada catatan perjalanan. Sejurus sahaja kami selesai menjalani pemeriksaan imigresen, kami terus keluar, mencari tuk tuk untuk menghala ke Patuxai, sebuah monumen kemerdekaan negara Laos. Sewaktu dalam tuktuk, tiba-tiba pemandu tuk tuk minta kami turun. Tayar bocor rupanya. Masalahnya, tuk tuk yang datang menggantikan kami comel sahaja saiznya. Bayangkanlah kami berempat dengan empat beg setinggi separuh saiz kami. Rasa bahagian depan motor tuktuk kami itu terjongket ke depan. Memang menjadi perhatian sangat sepanjang perjalanan.


Beberapa kilometer kemudian, tibalah kami ke Patuxai. Sambil bergambar di sana, kami disapa sekumpulan wanita Islam berbangsa Melayu Pattani. Walaupun tidak pernah jumpa, mereka memang sangat ramah bertanya, seolah-seolah sedang bertemu rakan lama. Rupanya-rupanya mereka datang bersama Ustaz Usman, da’ie yang menguruskan Yayasan As-Salam di Nongkhai. Pada asalnya, selesai bergambar, kami merancang untuk melawati dua buah masjid di Vientiane sebelum ke Danxang untuk melawati sebuah perkampungan mualaf.


Malangnya, dua orang da’ie yang bertanggungjawab menunjukkan jalan masuk ke kampung tersebut keluar berniaga dan terlupa akan janji untuk bertemu di Vientiane. Oleh itu, kami terpaksa bertukar ke pelan B, iaitu terus merentas sempadan Laos-Thailand untuk ke Yayasan As-Salam di Nong Khai. Sambil berada di sekitar batas imigresen Laos, kami sempat singgah di sebuah pasar raya bebas cukai yang bernama SKP Plaza. Pasar raya ini menjual pelbagai produk seperti pakaian, beg, kasut dan makanan dengan harga yang sangat murah. Bayangkanlah harga sepasang kasut sukan dewasa boleh mencecah serendah 100 baht. Yang penting, kita hendaklah bijak menawar harga dan bandingkan harga beberapa kedai. Kalaulah kami singgah di pasar raya ini di penghujung permusafiran, memang penuh tangan kiri dan kanan dengan kain tenun dan beg tangan. Namun, disebabkan ini masih hari pertama, tentulah kami membeli barang-barang yang penting sahaja.


Di Yayasan As-Salam, kami disambut oleh dua orang pelajar dewasa yang sedang sibuk menguruskan kandang kambing milik yayasan. Yayasan As-Salam ialah sebuah pusat ilmu yang ditubuhkan khas untuk mendidik pemuda dan remaja mualaf Laos dalam ilmu aqidah dan al-quran selama satu ke tiga tahun sebelum mereka dihantar belajar ke peringkat yang lebih tinggi di selatan Thailand atau negara lain. Pelajar Laos yang lain pada ketika itu telah pulang ke kampung halaman masing-masing dan akan mengambil masa untuk pulang semula ke yayasan berikutan kos pengangkutan dan pembaharuan dokumen pengenalan yang tinggi.

Disebabkan kami tidak dapat melaksanakan aktiviti bersama pelajar di Nong Khai dalam kunjungan kali ini, kami membuat keputusan untuk membersihkan kawasan masjid sepanjang keesokan pagi, selepas ketibaan Sis Hafizah dari Bangkok.


20 Disember 2019

Pagi kedua kami dimulakan dengan aktiviti membersihkan masjid yayasan. Walaupun pada amnya kawasan masjid ini memang berada dalam keadaan yang baik dan terjaga, namun disebabkan pada beberapa bulan kebelakangan ini ia tidak digunakan sepenuhnya, kami mengambil masa selama dua jam untuk menyapu, membersihkan lantai dan habuk, menyusun semula kitab dan buku serta membasuh dan menyidai telekung.


Pada sebelah tengah harinya, usai menunaikan solat jumaat bersama komuniti Islam di Masjid Al-Muttaqin, kami telah melawati akuarium Nong Khai. Hajatnya untuk menonton persembahan penyelam yang memberi makan kepada ikan-ikan didalam tangki utama. Walaupun dalam keadaan demam pada masa itu, tapi saya turut teruja bersama-sama anak-anak sekolah yang kebetulan membuat lawatan di sana melihat kumpulan ikan mengekori kemana sahaja arah penyelam tersebut

Setelah melawat akuarium, kami menuju pula ke Nong Khai Craft Market (Thasadet) untuk mendapatkan cenderamata khas dari Nong Khai, memandangkan kami akan meninggalkan wilayah ini pada keesokan harinya

Pada malam tersebut, kami amat bertuah kerana berpeluang mendengar tazkirah dan perkongsian tentang latar belakang Ustaz Usman, pengurus Yayasan As Salam ini. Beliau juga berkongsi cerita tentatng sejarah dakwah di Thailand dan Laos serta mehnah dan tribulasi dalam pergerakan mereka. Sempat Bro Arif mencadangkan satu solusi tentang masalah kekurangan di Yayasan As-Salam dan masalah dakwah di Laos yang telah kami bincangkan bersama Bro Hairul pada siangnya.


Cadangan tersebut ialah MISI7 akan membawa lima orang anak muda mualaf dari utara Laos mendapatkan passport dan membawa mereka masuk ke Nongkhai untuk belajar di yayasan ini pada setiap tahun. Mereka juga akan ditaja selama berada di yayasan ini untuk tempoh satu tahun tersebut. Alhamdulillah, cadangan ini telah disambut baik oleh Ustaz Usman. Semoga dengan persetujuan ini, masalah yang dihadapi oleh kedua-kedua pihak yayasan dan komuniti mualaf dapat diselesaikan dengan bijaksana dan lancar. Dalam mesyuarat ‘post-mortem’ pula, kami telah membangkitkan cadangan untuk menjana ekonomi yayasan dengan perniagaan daging kambing halal. Hal ini kerana yayasan ini sememangnya mempunyai perternakan kambingnya sendiri serta beberapa aset seperti peti sejuk beku. Aset-aset ini boleh dikembangkan untuk menjana ekonomi yayasan sekiranya mendapat bimbingan, modal serta dibantu dengan tenaga kerja yang mencukupi.


Dengan perbincangan dan taklimat pada malam tersebut, maka berakhirlah bahagian pertama perjalanan kami. Perjalanan keesokannya bakal membawa kami ke Luang Prabang, satu perjalanan yang mengambil masa 12 jam dengan menaiki bas awam. Semoga perbincangan kami selama lebih sejam pada malam itu membuka satu lembaran baru dalam misi di Nongkhai pada masa akan datang. Amin!



Rasulullah S.A.W bersabda : “Sebaik-baik manusia adalah paling bermanfaat kepada manusia lain.” (HR AHhmad, Al-Tabrani dan Al-Daruqutni)


21 Disember 2019

Pagi ketiga kami di Yayasan As-Salam, Nongkhai dimulakan dengan menjamah hidangan nasi kuning kegemaran saya. Teringat kisah beberapa tahun lalu, ketika mengembara di Nakhon Ratchasima, hari keempat kami bertahan tanpa nasi, akhirnya terjumpa dengan satu gerai Muslim yang menjual nasi kuning dan ayam goring di Khao Yai. Subhanallah, nikmat sungguh rasanya. Jadi pagi di Nongkhai itu memang kami betul-betul menikmati hidangan nasi kuning tersebut kerana kami telah dimaklumkan bahawa sepanjang di Laos nanti, memang sumber makanan halal sukar didapati. Selesai bersarapan, kami terus bersalaman dengan Kak Salma, isteri Ustaz Usman dan yang lain. Pagi itu Ustaz Usman yang menghantar kami ke stesen bas di Vientiane kerana beliau juga perlu berada di Laos atas beberapa urusan lain.


Alhamdulillah, kami tidak perlu terkejar-kejar untuk ke sempadan Thai-Laos seperti dalam perancangan asal. Setibanya di stesen bas Vientiane pada jam 8.30 pagi, kebetulan ketika itu ada satu bas mini yang sedang menunggu penumpang penuh. Ngam-ngam kami masuk, bas pun mulakan perjalanan, Alhamdulillah. Pada pertengahan perjalanan melepasi daerah Van Vieng, pemandu memberhentikan bas untuk berehat dan makan tengahari. Kami berlima menggunakan kesempatan tersebut untuk menunaikan solat fardhu Zohor dan Asar. Kami diberi keizinan oleh pemilik kedai tersebut untuk menunaikan solat pada ruangan kedai yang sedang diubah-suai.


Sememangnya di Laos, kelibat muslim amatlah jarang dilihat oleh masyarakat negara ini. Ketika menunaikan solat, mereka mematikan radio yang dipasang kuat ketika itu. Bukan sahaja diberi ruang untuk solat, malah Allah menjentik hati mereka untuk menghormati agamaNya. Alhamdulillah, walaupun di bumi asing (Islam), Allah masih menjaga hamba yang menjaga agamaNya. Semoga Allah menghantar hidayah yang lebih meluas di bumi Laos ini.


Teringat saya kepada sebuah petikan hadis berikut:


Dari Abdullah bin Abbas RA telah berkata: Adalah aku berada di belakang Nabi SAW, lalu baginda bersabda:


Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajar kamu beberapa kalimah (ajaran agama):

1. Jagalah Allah, (nescaya) Dia akan jaga kamu.

2. Jagalah Allah (nescaya ) kamu akan dapati Dia di hadapan kamu.

3. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah

4. Apabila kamu memohon bantuan maka mohonlah kepada Allah.


Ketahuilah sesungguhnya jikalau seluruh umat berkumpul untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak berupaya untuk memberi manfaat kepada kamu melainkan apa yang telah di tetapkan oleh Allah kepada kamu. Dan sekiranya umat berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu melainkan apa yang telah di takdirkan Allah ke atas kamu. Telah diangkat pena-pena dan telah ditetapkan takdir-takdir.


[HR Al-Tirmidzi]


Makluman awal yang kami terima perjalanan berjarak 390km ini akan mengambil masa 12 jam. Namun begitu, rupa-rupanya faktor saiz bas juga menentukan masa perjalanan. Disebabkan keadaan jalan berbukit, berliku dan sempit, bas mini ini ternyata lebih pantas daripada bas penumpang biasa. Selepas sembilan jam menikmati pemandangan berselang seli dengan melelapkan mata, makan dan beberapa perhentian, akhirnya kami tiba di Luang Prabang.

Perhentian bas di Luang Prabang ini sederhana sahaja saiznya walaupun bandar ini terkenal sebagai sebuah tarikan pelancong. Untuk ke ‘guesthouse’, kami berkongsi tuktuk dengan pelancong lain untuk mendapatkan harga yang terbaik. Ketika tiba di ‘guesthouse’, memang kami semua sudah sangat letih. Mungkin sebab perjalanan yang panjang dan keadaan jalan yang berbatu dan berliku. Jadi, kami terus sahaja masuk ke bilik, dan berehat sehinggalah isya’. Rupa-rupanya bila dalam permusafiran, berehat seketika itu pun sudah cukup untuk mengumpul tenaga bagi meneruskan program berikutnya.


Selesai menunaikan solat isya’, kami pun turun ke lobi membawa bersama bekalan pek makanan ‘Kembara Meals’ yang dibawa dari Malaysia. Inilah makanan yang paling sesuai dibawa ketika dalam perjalanan panjang, terutama ke tempat minoriti Islam seperti di Laos ini. Sepanjang hari kami Cuma mengalas perut dengan makanan ringan dan buah-buahan. Akhirnya dapat juga kami duduk semeja menjamah nasi mengikut selera Malaysia. Nikmatnya tak terkata.


Alhamdulillah. Selepas makan, seperti biasa kami akan diberikan taklimat untuk perjalanan hari berikutnya. Setiap butiran perjalanan dan perancangan dijelaskan dengan terperinci supaya kami tahu apa tindakan yang perlu diambil semasa tiba di tempat-tempat tersebut.


Selesai taklimat, kami diberikan dua pilihan iaitu untuk berehat atau keluar meneroka pasar malam di Luang Prabang. Hampir semua peserta menggunakan peluang ini untuk ke sana, namun saya pula memilih untuk melelapkan mata.

22 Disember 2019

Pagi keempat kami bermula dengan keterujaan kerana akan melawati destinasi yang dinanti-nanti sejak awal permusafiran, iaitu Kuang Si Waterfall. Kuang Si Waterfall ialah sebuah air terjun tiga tingkat yang mengalir dan membentuk kolam-kolam biru turquoise yang sangat indah. Sebelum masuk ke lokasi air terjun, kami disambut oleh puluhan ekor beruang bulan (Moon Bear) di Taman Perlindungan Beruang Bulan di sana. Telatah beruang-beruang yang lena tidur dan bersantai di dalam buaian dan platform tinggi sungguh mencuit hati dan membuatkan kami ralit sebentar. Puas memerhati gelagat beruang-beruang, kami meneruskan perjalanan ke kolam air terjun yang pertama.


Jarak pendakian dari kolam pertama ke kolam kedua dan ketiga rendah sahaja. Jadi kami ambil peluang bergambar di setiap sudut dan arah sehingga puas.





Selesai makan di sana, kami terpaksa meninggalkan Kuang Si Waterfall dengan berat hati.


Dalam itinerari asal, selepas melawat Kuang Si Waterfall kami sepatutnya ke beberapa lagi tempat lawatan seperti Royal Palace dan Museum Palace. Namun, setelah berbincang pada malam sebelumnya, kami memilih untuk terus ke Oudomxay lebih awal kerana jarak perjalanan yang agak jauh dan kami perlu tiba awal di sana untuk melakukan persiapan sebelum meneruskan tugas sukarelawan pada keesokan harinya.


Oleh itu, dari Kuang Si Waterfall, pemandu kereta kami terus menghantar kami ke stesen bas Luang Prabang. Perjalanan bas mini mengambil masa lebih kurang 4 jam, mengharungi jalan berliku, berbatu dan berdebu.


Dari dalam bas, mata jadi sayu melihat gunung ganang ditarah, debu-debu memenuhi tanah dan udara akibat projek pembangunan skala besar yang diterajui oleh syarikat sebuah negara jiran. Sepanjang perjalanan, jalan sempit di lereng gunung dipenuhi dengan treler dan lori bermuatan berat dari negara jiran tersebut.



Sesekali hati terhibur melihat gelagat penduduk tempatan di pergunungan yang kami menuruni bukit dengan hasil tuaian masing-masing dan anak-anak kecil melambai kenderaan-kenderan yang lalu dihadapan rumah mereka di sepanjang jalan.


Oudomxay adalah satu wilayah yang terletak di utara Laos. Jarak wilayah ini dengan sempadan China hanyalah sejauh 60km. Kami tiba di stesen bas Oudomxay lewat petang dan terus mendaftar masuk ke sebual motel berhampiran. Di sini, segalanya sederhana. Namun, kami terima seadanya kerana bermewah dan mencari keselesaan bukanlah sebab kami berada di sini.


Pada malam tersebut, kami diberikan taklimat mengenai perjalanan pada hari esok. Tak dapat dinafikan, muncul sekelumit rasa gentar dan bimbang kerana kehadiran orang luar ke sini boleh dikatakan jarang terjadi, apatah lagi untuk menyantuni beberapa orang Islam yang tersisih dari norma komuniti di sini.


Tambahan lagi, negara ini merupakan negara komunis yang menetapkan peraturan-peraturan rumit bagi mengehadkan kemasukan pengaruh luar dan penyebaran agama seluruh negara. Namun, semangat kami untuk bertemu saudara muallaf tidak luntur walau sedikitpun. Walapun apa yang akan berlaku esok tidak dapat dijangka, kami berdoa agar segala urusan kami dipermudahkan.



23 Disember 2019

Tepat jam 6 pagi, kami menaiki kenderaan yang disewa khas untuk membawa kami ke sebuah perkampungan bernama Ban Nweng di daerah Moung Houn. Sebelum tiba di Ban Nweng, kami terlebih dahulu tiba di pekan utama untuk daerah Moung Houn untuk menunggu wakil penduduk muallaf di sini untuk menunjukkan arah jalan ke kampung beliau.



Walaupun ini merupakan kunjungan kelima Bro Hairul ke sini, mengingati jalan ke Ban Nweng ini memang amat sukar kerana perkampungan ini terletak betul-betul didalam ladang pisang yang besarnya sejauh saujana mata memandang. Hanya dengan pacuan empat roda atau jentera tertentu kami boleh melalui jalan yang tidak berturap, merentasi saliran air dan menyusuri laluan-laluan yang mengelirukan kerana semua jalan dan lorong di celahan deretan tanaman pisang tersebut kelihatan sama.


Kira-kira 30 minit menunggu, akhirnya Bro Qamaruddin wakil muallaf tiba ke tempat perjumpaan kami. Tanpa melengahkan masa, kenderaan yang kami naiki mengikuti motorsikal yang beliau bawa. Selepas hampir satu jam mengekori beliau, kami tiba di Ban Nweng.


Sepanjang masa kereta kami melalui deretan rumah-rumah penduduk di sini, kami menjadi perhatian berpuluh-puluh pasang mata. Sehinggalah kereta kami betul-betul berhenti di hadapan masjid kecil yang dibina oleh sebuah dari luar negara tersebut, mereka kelihatan gembira dengan kehadiran kami di sini. Dari kejauhan, kelihatan mereka mula berkumpul dan bergerak mendekati kami. Menyedari bahawa atas faktor keselamatan kami tidak boleh berada lama di sini, kami dengan segera memasuki perkarangan rumah saudara muallaf yang ingin kami kunjungi, bersalam-salaman dengan mereka dan terus berkumpul di masjid tersebut.


Jujurnya, ketika saya bersalaman dengan beberapa orang muallaf wanita yang menyambut kedatangan kami, bergenang air mata. Saya pun tidak dapat menerangkan apakah perasaan yang dirasai pada waktu itu. Terharu? Sebak? Gembira? Entah. Walaupun kami tidak pernah bersua, namun dakapan erat mereka cukup bermakna.

Sedang kami duduk bertanyakan khabar dan sebagainya, kami dimaklumkan bahawa ketua kampung tersebut akan datang menyertai kami di masjid itu. Pada awalnya kami tidak tahu apa yang harus dijangkakan kerana ini merupakan kali pertama beliau melibatkan diri dengan perjumpaan antara MISI7 dengan penduduk muallaf di sini. Namun, kehadiran beliau ketika itu ternyata membuka satu lembaran baru yang lebih positif buat MISI7 untuk kunjungan akan datang. Beliau menawarkan bantuan sekiranya diperlukan dalam kunjungan-kunjungan akan datang dan kami menganggap itu sebagai satu tanda bahawa kehadiran kami disini disambut dengan baik, terutamanya oleh penduduk kampung tersebut sendiri.


Selesai sesi penyerahan sumbangan kepada enam keluarga Muslim dan ketua kampung Ban Nweng, dan setelah ketua kampung mereka beredar, kami menggunakan kesempatan tersebut untuk mempelawa lima orang daripada kesemua ahli keluarga muallaf di sini untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Nong Khai menerusi program tajaan yang diuruskan oleh MISI7. Sekiranya mereka berminat, dokumen perjalanan mereka akan diuruskan oleh sukarelawan MISI7 dalam kunjungan akan datang.



Walaupun kunjungan kami cuma seketika, terasa kuatnya rasa kasih kami kepada mereka. Bayangkanlah betapa sukarnya menjaga aqidah apabila berada di dalam sebuah kampung yang keseluruhannya bukan Islam dan amat konservatif. Kami hanya mampu mendoakan mereka diberikan kekuatan serta ganjaran yang berlipat ganda di dunia dan akhirat kelak.


Selesai menyantuni masyarakat Islam di Ban Nweng, kami kembali ke Oudomxay untuk menaiki bas ke sempadan Borkeo-Chiangkong. Memandangkan perjalanan kami akan mengambil masa 6 jam, kami mengambil keputusan untuk bergerak lebih awal kesana berbanding perancangan asal supaya kami dapat menginap di Borkeo sebelum merentasi sempadan Laos-Thai pada keesokan paginya.


Dalam bas mini dari Oudomxay, Sis Hafizah dan saya diberikan tempat di disebelah pemandu kerana tempat duduk belakang penuh dengan penumpang lelaki. Bro Hairul memang sangat menjaga kebajikan peserta wanita, terutamanya ketika berada dalam kenderaan awam. Namun, walaupun tempat duduk dihadapan sangat selesa, saya tak dapat langsung melelapkan mata sebab gayat dengan gaya pemanduan pemandu tersebut. Walaupun beliau memang cekap, namun dilereng-lereng bukit, terutamanya apabila berselisih dengan treler dan lori besar, beliau langsung tidak memperlahankan kenderaan. Kami disebelah yang sibuk menekan brek lutsinar sepanjang perjalanan. Kami tiba di rumah tumpangan di kawasan perhentian bas Borkeo pada jam 8.00 malam.


Seperti biasa, aktiviti malam kami ialah makan berjemaah, melakukan refleksi harian dan mendengar taklimat untuk perjalanan keesokan harinya. Rasanya lama juga kami berbincang mengenai saudara-saudara Ban Nweng. Perlbagai cadangan lahir melalui perbincangan pada malam itu. Alhamdulillah, semoga semuanya dipermudahkan dan menjadi kenyataan.

Allah berfirman:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang makruf (baik), serta melarang daripada segala yang mungkar/salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran: 104)


24 Disember 2019

Pejam celik, pejam celik, kami telah pun berada pada hari keenam permusafiran. Perjalanan yang panjang terasa singkat kerana jadual kami sentiasa padat. Badan juga terasa lebih ringan kerana tiada hidangan makanan mewah empat kali sehari. Bahkan, kami yang perlu mencari masa makan, dengan sumber makanan halal yang terhad di Laos. Namun, inilah yang menjadikan kami lebih kuat dan bersemangat kerana kami sedar perjalanan ini bukan satu pelancongan suka-suka. Pertemuan kami dengan saudara-saudara muallaf di Ban Nweng benar-benar membuka mata kami mengenai tanggungjawab yang terpikul di bahu kita semua umat Islam yang lebih bernasib baik di Malaysia ini. Walaupun cuma seketika, kami berdoa semoga kunjungan kami yang sebentar di sana memberikan sedikit suntikan semangat supaya mereka dapat meneruskan hidup dalam Islam dan tidak merasa sunyi dan keseorangan di sana.

Pagi hari kelima dimulakan seawal selepas subuh. Selepas mendaftar keluar, kami terus mendapatkan tuktuk yang sudah sedia menunggu di perhentian bas tersebut untuk ke sempadan Borkeo-Chiangkong. Mungkin kami terlalu awal tiba di sana, sempadan masih belum dibuka. Oleh itu, kami terus mencari tempat duduk, bersarapan dan berbual ringan, mengenali antara satu sama lain. Memang sepanjang perjalanan, setiap kali kami mempunyai masa menunggu begini, kami akan memanfaatkan dengan bercerita dan bertanya mengenai latar belakang antara satu sama lain. Selain itu, kami juga mengadakan sesi taaruf selepas taklimat perjalanan pada setiap malam. Sebab itulah pada hari kelima ini, hubungan kami sudah tersangat akrab, seperti adik beradik.

Lebih kurang satu jam kemudian, akhirnya kaunter imigresen dibuka. Selesai urusan di kaunter, kami dibawa ke sempadan Chiangkong menaiki sebuah bas dan akhirnya kami meneruskan perjalanan ke Chiang Rai.



Setibanya kami di perhentian bas Chiang Rai, tentulah kami mencari 7Eleven terlebih dahulu. Maklumlah sudah tiga hari mengikat perut di Laos. 7Eleven adalah tempat paling mudah untuk mendapatkan makanan ringan yang halal dan enak di Thailand.


Selesai ‘mengalas’ perut dengan sebiji burger, sekeping roti dan sebotol susu pisang, kami dijemput oleh Ustaz Huzaifah. Beliau merupakan seorang muallaf yang dibawa dari kawasan bukit di Chiang Rai ini dan belajar di disini sebelum melanjutkan pelajaran ke Pattani dan kembali berkhidmat untuk anak-anak di Islamic Center Ban Pangsa. Dari perhentian bas Chiang Rai, Ustaz Huzaifah membawa kami ke sebuah lokasi untuk mengambil kereta sewa yang telah ditempah lebih awal oleh Bro Hairul. Chiang Rai ini ibarat rumah kedua Bro Hairul. Jadi sepanjang 3 hari di sini, Bro Hairul lah yang akan memandu kereta membawa kami ke sana sini.

Sebelum ke Ban Pangsa, kami terlebih dahulu melawati sebuah tempat tarikan yang wajib dikunjungi sekiranya pelancong-pelancong luar berkunjung ke Chiang Rai, ‘Union of Hill Tribe and Long Neck Karen Villages’. Perkampungan ini mengumpulkan saki baki masyarakat 5 suku asli untuk hidup dengan tradisi asal dalam satu kawasan yang disediakan. Sekali imbas, mereka ini ibarat bahan pameran kepada pelancong yang datang. Namun, dari sudut lain, ini juga merupakan inisiatif kerajaan Thailand untuk memelihara tradisi mereka yang semakin pupus dek arus permodenan. Di perkampungan ini, terdapat 5 buah perkampungan kecil yang didiami oleh suku Lahu, Kayaw, Long Neck Karen, Lu-mien dan Akha. Saya pernah berpeluang untuk melawati sebuah tempat tarikan seumpama ini di Taiwan, di mana produk, persembahan dan kediaman suku-suku asli di sana dipamerkan dalam satu kawasan komersial untuk membantu mereka menjana ekonomi disamping memelihara identiti dan jati diri mereka.

Namun, di Chiang Rai ini, mereka sendiri tinggal di dalam perkampungan ini, dan membahagikan kerja sesama mereka di sini juga. Contohnya, ada yang bertani dan menternak kerbau serta khinzir, ada yang menghasilkan kraf, dan ada yang menjaga kedai masing-masing dan melakukan persembahan setiap kali ada pengunjung yang datang. Semuanya di dalam satu perkampungan ini. Pengalaman di sini amat mengujakan kami, terutamanya apabila dapat melihat sendiri wanita-wanita suku Karen yang memakai perhiasan besi dileher yang membuatkan leher mereka lebih panjang. Sebelum ini, kami hanya melihatnya daripada gambar dan video. Alhamdulillah, sebuah pengalaman yang cukup berharga.

Chiang Rai merupakan diantara bandar yang terletak paling utama dalam peta negara Thailand. Ia terletak berdekatan dengan sempadan Laos dan Myanmar yang dikenali dengan nama Segi Tiga Emas (Golden Triangle). Kedudukannya yang terletak di kawasan tanah tinggi juga menjadikannya salah satu tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.


Di Chiang Rai, destinasi utama kami ialah ‘Islamic Center Ban Pangsa’. Pusat ini menjadi tempat tinggal anak-anak kecil berusia 7-16 tahun yang dibawa daripada perkampungan orang-orang asli di kawasan pergunungan sekitar Chiang Rai. Di sini, mereka bersekolah di sebuah sekolah agama yang dibiaya oleh sebuah yayasan dari Malaysia dan dan selepas waktu persekolahan, mereka pulang menginap di pusat ini sepenuh masa.

Kebanyakan mereka datang daripada suku-suku pribumi di sini, yang lebih dikenali dengan gelaran orang bukit, dan setiap suku ini mempunyai bahasanya yang tersendiri. Antaranya ialah suku Akha, Muse, Leso dan Mong. Oleh itu, anak-anak yang baru dibawa turun ke pusat ini kebanyakannya tidak tahu berbahasa Thailand dan memerlukan penterjamah daripada kalangan rakan-rakan atau seorang tenaga pengajar dari suku Akha di sini. Ada juga yang masih janggal menggunakan nama Islam dan lebih selesa menggunakan nama asal mereka, sehingga apabila ditanya ‘cer arai’? (Siapa nama?), mereka akan menjawab dengan nama asal mereka. Apabila ditanya lagi ‘cer Muslim?’ (Nama Muslim), mereka senyum tersipu-sipu dan menjawab ‘tak ingat’. Begitulah keadaannya di sini. Walaupun mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bahasa dan cara hidup yang berbeza, baki kami, sekurang-kurangnya apabila mereka tinggal di sini sepenuh masa, mereka terbiasa dengan cara hidup Islam dan perlahan-lahan, mereka akan menghayati agama ini dengan aqidah yang jelas.

Daripada perbualan kami bersama guru-guru wanita di sini, kami dimaklumkan anak-anak disini datang daripada keluarga yang belum kembali kepada Islam. Ada juga yang datang menghantar anak di sini kerana inginkan kehidupan yang lebih baik untuk anak mereka. Terasa sayu bila mengetahui bahawa ada anak-anak yang telah dihantar ke sini dari kecil, dan tidak mengingati lokasi rumah dan siapa nama ibu dan ayah mereka. Oleh itu, apabila musim cuti menjelang, tenaga pengajar di sini tidak dapat menghantar mereka pulang kerana mereka tidak tahu jalan pulang ke rumah dan tidak ada orang yang boleh dihubungi untuk mengambil mereka di sini.


Di sini, tujuan utama MISI7 bukanlah untuk memberikan bantuan kewangan kerana secara amnya pusat dan sekolah agama disini mempunyai sumber kewangan yang tetap daripada NGO luar dari negara Thailand. Namun, daripada aspek pendidikan dan pengurusan harian di sini, masih terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki. Mungkin kerana pusat ini tidak mempunyai tenaga pengajar mahir, ataupun pengurusan bersistem bukan satu kebiasaan buat mereka, kami dapati rutin seharian anak-anak ini banyak yang perlu ditambah baik.


Amat menyedihkan apabila Bro Hairul memaklumkan kepada kami bahawa anak-anak yang telah berada di sini selama 3-4 tahun baru mampu membaca Iqra 2. Mereka juga tidak mempunyai jadual harian yang terancang seperti asrama-asrama atau madrasah di Malaysia. Jika ada pun, perlaksanaannya memerlukan pemantauan yang lebih kerap dan telus. Oleh itu, harapan MISI7 ialah setiap kali sukarelawan MISI7 berkunjung ke sini, sekurang-kurangnya program yang kami adakan bersama anak-anak ini dapat memberikan sedikit tambah nilai terhadap pengetahuan mereka, terutamanya dalam aspek yang kurang ditekankan di sini, seperti Bahasa Inggeris dan literasi.


Selain itu, kami juga mengadakan penilaian tahap bacaan Iqra mereka untuk dibandingkan dengan tahap bacaan yang direkodkan oleh sukarelawan misi-misi sebelum ini. Benarlah, berbanding dengan masa yang mereka ada di sini, tahap bacaan mereka masih lemah. Panjang ceritanya apabila kami berbincang mengenai perkara ini, namun apa yang dapat diputuskan ialah pusat ini memerlukan sistem pengurusan yang berfokuskan kemenjadian muridnya serta pengurus dan tenaga pengajar yang berdisiplin serta berkemahiran.


Malam pertama kami di sini diisi dengan mengadakan sesi tadarus dan penilaian bacaan Iqra. Walaupun ini kali pertama saya bertemu anak-anak ini, naluri seorang pendidik memang terus zahir secara sendirinya apabila bersama mereka. Apa yang mengharukan ialah mereka semua amat seronok belajar. Ada yang berbaris dua kali untuk membaca Iqra’. Apabila anak-anak seronok belajar, gurunya apatah lagi.

25 Disember 2019

Seperti yang telah dirancang, hari ketujuh kami akan dihabiskan dengan melawat tempat-tempat menarik di sekitar Chiang Rai, sebelum singgah membelikan sumbangan untuk anak-anak di Ban Pangsa dan mengadakan program bersama mereka di sebelah malam.


Aktiviti pertama kami ialah menyaksikan matahari terbit di kawasan pergunungan 'Doi Chang Moob' yang bersempadan dengan Myanmar. Subhanallah, sebagai seorang peminat pemandangan ‘sunrise’, saya memang berpuas hati dengan pemandangan yang diperolehi pada pagi tersebut. Apatah lagi dengan suhu 10 darjah celsius, inilah suasana yang saya akan rindukan ketika pulang ke Malaysia.


Selesai bergambar, kami terus menuju ke sempadan Thai-Myanmar. Sempadan ini terletak di puncak gunung, dengan kedua-dua buah negara dipisahkan hanya dengan pagar biasa. Namun, terdapat dua buah pos tentera yang dilengkapi sebuah kubu terbuka. Pemandangan di sini juga sangatkah indah. Dari sini, Myanmar hanyalah berada beberapa meter di hadapan. Kehijauan hujan di kelihatan mendamaikan dari atas. Di sini, kami telah merakam beberapa video penutup bersempena dengan perjalanan kami yang sudah semakin tiba ke penghujungnya. Jemputlah tonton di ‘channel youtube’ MISI7. Dalam perjalanan turun dari kawasan tinggi, kami singgah di Doi Pha Mee iaitu satu lokasi penanaman kopi untuk menikmati keaslian kopi Chiang Rai. Sambil menghirup kopi, kami dihidangkan dengan pemandangan gunung-ganang di balkoni kafe tersebut. Aduh, tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat seindah ini. Di sini, kami mengambil peluang bersantai seketika, menghayati suasana yang tenang sebelum meneruskan perjalanan.



Seterusnya, kami bergerak pula ke Segi Tiga Emas (Golden Triangle). Sekiranya ada yang tertanya-tanya bagaimana rupa sempadan tiga buah negara Thailand, Myanmar dan Laos ini, sebenarnya ia adalah titik sempadan negara yang dipisahkan oleh Sungai Mekong dan Sungai Ruak. Segi Tiga Emas ini pula merupakan titik di mana Sungai Mekong dan Sungai Ruak bertemu, menjadikan ia satu sempadan semulajadi yang memisahkan tiga negara ini. Dari ‘viewpoint’ di Chiang Rai, kelihatan Myanmar dan Laos begitu dekat dan jelas. Rupa-rupanya, kami juga boleh mengambil bot ke dua-dua negara ini. Terdapat pasar-pasar yang menjual perbagai barang murah di terutamanya di sempadan Thailand dan Myanmar. In sha Allah, lain kali jika berpeluang, saya juga teringin menaiki bot merentasi sungai ke Myanmar.


Seterusnya, perjalanan diteruskan dengan berkunjung ke Pasar Mae Sai. Pasar ini terletak betul-betul di hadapan sempadan utama Chiang Rai-Myanmar. Amat mudah mengenali kenderaan-kenderaan Myanmar di sini. Ramai juga penjaja dan peniaga di sini yang berasal dari Myanmar. Barang-barang seperti makanan kering, pakaian dan beg di sini amatlah murah. Kawasannya juga besar dan padat. Jika seseorang itu memang datang ke sini dengan niat membeli belah, tentu tidak menang tangan membawa pulang barang-barang dari sini. Sempatlah saya membeli beberapa barang keperluan dan buah strawberi yang sangat murah dan manis di sini.

Selesai bersiar-siar di sini, kami terus menuju ke sebuah restoran Muslim yang terletak berhampiran dengan Masjid An-Noor Mae Sai. Memang hidangan di sini sangat enak. Difahamkan pemiliknya muslim berbangsa Cina. Sepanjang kami berada di sana, kami bertemu beberapa kumpulan pelancong dari Malaysia. Nampaknya memang di sinilah restoran halal yang wajib dikunjungi oleh pelancong-pelancong Malaysia di sini.

Selesai makan dan solat, kami terus menuju ke destinasi lawatan yang terakhir, iaitu Choui Fong Tea Plantation, sebuah ladang teh yang popular di sini. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Sambil menikmati pemandangan ladang teh seluas mata memandang, kami bersantai di kafe di puncak bukit untuk menikmati kek teh hijau dan minuman teh yang dijual disini. Tak dapat dinafikan, ‘green tea cheesecake’ dan ‘green tea swiss roll’ di sini ialah antara yang paling enak yang pernah saya cuba setakat ini.


Dengan berakhirnya lawatan kami ke ladang teh tersebut, maka tamatlah episod liburan kami di Chiang Rai. Dalam perjalanan pulang ke Ban Pangsa, kami singgah membeli barang-barang sumbangan berupa selimut untuk anak-anak ini sempena musim sejuk yang akan berlarutan sehingga awal tahun hadapan. Selain itu, kami juga membeli bahan-bahan bantu mengajar untuk program bersama anak-anak dan sedikit hadiah berupa coklat sebagai ganjaran penglibatan mereka dalam aktiviti sepanjang malam tersebut.


Selesai membeli, Maghrib sudah menjelang. Oleh itu, setibanya kami di Pusat Muallaf Ban Pangsa, Sis Hafizah dan saya terus menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk aktiviti selepas isya’. Alhamdulillah, disebabkan kami telah mengadakan pebincangan dan perancangan semasa dalam perjalanan sepanjang siang tersebut, proses penyediaan bahan berjalan dengan amar pantas dan lancar.


Selepas Isya’, kami terus memberikan sedikit taklimat kepada tenaga pengajar di sana tentang perjalanan aktiviti kerana mereka terpaksa membanntu kami menterjemah setiap arahan dan soalan. Dalam slot pertama, Bro Hafiz telah mengendalikan sesi ‘ice breaking’ dengan aktiviti penguji minda yang sangat menarik. Seterusnya, kami telah melakukan kuiz agama, aktiviti Bahasa Inggeris dan akhir sekali mengajar mereka menulis nama sendiri dalam tulisan rumi dan arab. Walaupun keseluruhan aktiviti tersebut mengambil masa lebih satu jam setengah, bagi kami, masa berjalan terlalu pantas kerana terlalu banyak yang ingin kami curahkan kepada mereka, namun masa tidak mengizinkan.


Seronok kerana semua sukarelawan berkerjasama dengan aktif sepanjang aktiviti, dan seronok juga kerana anak-anak berminat dengan semua aktivti walaupun terdapat kekangan dari sesi komunikasi antara kami. Sambil melakukan aktiviti, mereka teruja merasa strawberi yang kami bawa pulang sebagai ole-ole dari Mae Sai dan makanan ringan yang kami sediakan. Pokoknya, malam itu merupakan malam yang sangat menyeronokkan bagi kami dan mereka.



Selesai program bersama anak-anak, kami berlima keluar untuk mencari tempat minum untuk menghangatkan badan. Malangnya, kedai-kedai di sekitar bandar tutup agak awal. Akhirnya kami ke 7Eleven untuk membeli minuman panas dan membawanya ke pusat. Malam itu, sesi taklimat kami agak panjang. Dimulakan dengan sesi menyemak borang-borang penilaian penerima manfaat, seterusnya kami telah melakukan refleksi dan ‘post-mortem’ mengenai perjalanan sepanjang 8 hari 7 malam ini. Tentunya ada luahan rasa, kata-kata jujur dan menyentuh perasaan serta perkongsian harapan. Alhamdullilah, kami semua berkongsi rasa yang sama. Semoga ukhuwah yang terbina ini perkekalan, dan semoga kami semua dipertemukan lagi dalam misi-misi seterusnya.


26 Disember 2019

Pagi terakhir kami di Ban Pangsa hati terasa sedikit sayu. Selesai sesi penyerahan sumbangan kepada anak-anak dan tenaga pengajar, kami pun mula memunggah barang-barang ke dalam kereta. Ada anak-anak yang datang memeluk dan menarik tangan kami dan memperkatakan sesuatu yang tidak difahami. Namun kami memahami itu sebagai satu cara mereka menzahirkan rasa berat hati untuk berpisah. Selesai bersarapan dan bersalam-salaman sebelum mereka ke sekolah, kami pun meninggalkan Ban Pangsa dengan perasaan yang bercampur baur. Maka berakhirlah program permusafiran kami bersama MISI7 pada kali ini.



Pagi itu, Bro Hairul menghantar kami ke tempat menunggu bas kerana kami berempat akan mengambil bas ke Chiang Mai, manakala Bro Hairul akan meneruskan perjalanan menziarahi adiknya yang bersekolah di Kota Bangkok. Di Chiang Mai, kami membawa haluan masing-masing. Bro Arif memilih untuk meneroka Chiang Mai sehingga petang sebelum menaiki kereta api ke Bangkok, Bro Hafiz dan Sis hafizah mengambil penerbangan terus ke Kuala Lumpur, manakala saya mengambil penerbangan domestik ke Bangkok. Walaupun kami telah berpisah, masih terasa akrabnya apabila masing-masing memaklumkan keberadaan masing-masing, berkongsi masalah dan penyelesaian, dan mendoakan antara satu sama lain sehinggalah kami semua tiba di tempat asal masing-masing.

Sejujurnya, apa yang tercatat dalam penulisan ini bukanlah keseluruhan yang kami lalui di sini. Terlalu banyak peristiwa dan pengalaman yang tidak tertulis oleh pena, namun akan kekal terpahat sebagai memori yang akan dikenang sehingga bila-bila. Yang penting, perjalanan ini telah membuka mata kami tentang tanggungjawab dan amanah kita sesama muslim yang kita tidak sedari, kerana di Malaysia, mungkin kita sentiasa dimanjakan dengan keselesaan yang melalaikan.

Oleh itu, jom! Kepada pembaca-pembaca yang budiman, jangan lepaskan peluang untuk menyertai MISI7 dalam mana-mana program Kembara Amal Sukarelawan atau Volunteer.Donate.Travel luar dan dalam negara. Setiap tahun, banyak program yang telah dirancang, melibatkan penerima-penerima manfaat di sekitar Asia Tenggara. Kepada yang sukakan cabaran, saya sangat menggalakkan kalian menyertai siri #MISI7InThaiLaos ini kerana tempohnya yang lebih panjang dan pengisiannya yang amat mengujakan. Mana tahu kita boleh bertemu pada tahun hadapan? In sha Allah.


Catatan oleh,

19-26 Disember.


KLIK DISINI untuk membaca laporan penuh program ini.


624 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page