top of page
Search
  • Writer's pictureinfomisi7

Catatan Sukarelawan #MISI7InSarawak2020

Updated: Sep 25, 2020


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah selawat dan salam buat junjungan nabi Muhammad saw.Bersyukur kehadrat Illahi kerana diberikan keizinan dan peluang darinya untuk menyertai #MISI7InSarawak2020 pada kali ini. Alhamdulillah misi kali ini agak berbeza dengan misi yang pernah saya ikuti selama ini dengan NGO yang lain. Ini kerana misi kali ini lebih tertumpu kepada misi mengembara sambil mengajarkan ilmu fardhu ain kepada komuniti muallaf di kawasan pedalaman Kapit iaitu Kampung Punan Bah. Inilah pertama kali pengalaman saya mengikuti misi dan program berseorangan dan ditemani oleh Bro Hairul & seorang lagi sukarelawan yang akan menetap di sana selama 3 bulan, Bro Khairul. Disini akan saya cerita sedikit pengalaman sepanjang saya mengikut misi sukarelawan di Sarawak pada kali ini sebagai coretan kenangan dan rujukan peserta lain pada masa akan datang.


HARI PERTAMA: 27 Feb 2020

Teruja,takut,gembira.Itulah perasaan yang muncul pada pagi tadi taktala menunggu waktu berkumpul jam 2 pagi.Ini kerana saya berseorang dan tidak mengenali kumpulan yang akan bergerak dengan saya dalam misi ini.Alhamdulillah seperti yang dijanjikan,kami berkumpul di Arcade foodcourt untuk taklimat dan pemberian baju.Tepat jam 5.50 pagi,kami bertolak ke Sibu menaiki pesawat Air Asia dan tiba di Sibu pada jam 7.55 pagi.


Setibanya disana,kami diberikan kad kesihatan untuk memastikan kami bebas dari penyakit & virus yang sedang menular pada masa kini,iaitu wabak #COVID19. Setelah melepasi kaunter imigresen untuk penyerahan kad kesihatan dan cop passport, tibalah masanya pengembaraan kami. Destinasi pertama kami ialah Pekan Kapit yang memerlukan kami untuk menaiki bot ekspres yang mengambil masa 3 jam untuk tiba disana. 3 jam di dalam perjalanan berbekalkan kuih pulut panggang Sarawak yang agak unik berbanding di Semenanjung melalui Sungai Rajang, akhirnya kami tiba di Jeti Kapit.




Ketibaan kami disambut baik oleh Kak Hidayah dan Abang Herman yang datang dari Punan Bah yang akan bersama-sama kami di sini untuk membeli barangan yang akan dimasak untuk peserta kursus. Kami meneruskan perjalanan mencari makanan tengahari di Warung Nek Tok menaiki kereta sewa sebelum mendaftar masuk hotel. Kami perlu menginap sehari di Kapit kerana untuk ke Punan Bah, kami perlu menaiki bot 4 jam lagi ke sana.Dikawasan Kapit agak sukar rasanya untuk mencari gerai makanan yang halal yang dijual oleh orang islam kerana majoriti masyarakat di sekitar sini adalah masyarakat bukan islam.Makanan disini banyaknya dijual oleh orang orang bukan islam.Agak berbeza rasanya pengalaman kali ini kerana sukar untuk jumpa peniaga muslim di kawasan ini.


Seusai menunaikan hak perut,kami mendaftar masuk ke hotel dan menyambung jadual kami selepas solat asar pada jam 4.30 petang. Kami keluar mencari barangan keperluan masakan untuk 3 hari kami di Punan Bah pada esok hari. Kami membeli barang di kedai berhampiran dan seterusnya melawat muzium lama Sylvia Ford yang menempatkan sejarah sejarah lama tentang peperangan pada masa dulu. Banyak ibrah yg boleh diambil dari sejarah lama tentang perjanjian damai dan peperangan pada masa dulu .Sebelum bergerak ke tempat lain,kami sempat mengambil gambar sebagai kenang-kenangan pada masa akan datang.



Masa semakin pantas berlalu,azan maghrib sudah hampir masuk memandangkan disini waktu solat lebih awal dari di Semenanjung. Pada jam 6.10 petang kami menuju ke Masjid Jabal An-Nur untuk menunaikan tanggungjawab sebagai muslim. MasyaAllah, masjid yang sangat indah tersergam di tengah tengah bandar Kapit yg dikelilingi dengan Jabatan Agama & padang bola kerap dikunjungi oleh anak-anak muda dan golongan tua. Alhamdulillah taktala waktu solat, berpusu-pusu anak muda dan warga tua menunaikan solat berjemaah.


Solat sudah,berbelanja juga sudah,sekarang tiba masanya menunaikan semula hak perut.Situasi masih sama seperti tengahari tadi iaitu agak sukar mencari gerai makanan muslim dan kebanyakkan kedai disini sudah tutup seawal 7 malam tidak seperti di Kuala Lumpur yang kedai makan hidup 24 jam.Inilah pengalaman baru yang saya rasa. Akhirnya kami memilih untuk makan di KFC kerana itulah pilihan terbaik yang boleh kami ambil bagi menjaga kesucian makanan yang diambil dan dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam perkara perkara syubhah. Islam sangat menitikberatkan pengambilan makanan yang halal dan baik dan perlu elakkan dari makanan yang tidak dapat dipastikan kehalalannya. Hadis nabi juga ada menyebut sesungguhnya "Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Dan diantara keduanya ada kesamaran (syubhah)"



Seusai makan,kami bergerak ke hotel untuk menunaikan hak badan iaitu berehat untuk kami meneruskan perjalanan pada hari kedua pada esoknya ke tempat tujuan kami,Punan Bah.


HARI KEDUA: 28 Feb 2020

Alhamdulillah masih diberi nafas dan peluang untuk terus hidup di muka bumi Allah ini dan terus berbakti. Pagi ini kami menuju ke gerai makan muslim berdekatan pada jam 8 pagi setelah selesai mendaftar keluar hotel sebelum meneruskan perjalanan.Kami singgah di kedai makan muslim untuk mencuba makanan yang agak unik dan berbeza di sini iaitu Roti Canai Goreng. Roti canai goreng yang kelihatan seperti telur dadar amat menarik perhatian kami untuk mencuba. Alhamdulillah benarlah pepatah 'banyak berjalan,luas pengalaman" Itulah yg boleh digambarkan melalui misi ke Sarawak pada kali ini. Pelbagai perbezaan dan keunikan makanan yang ada disini.


Seusai makan,kami menuju ke Pasar Geylang yang menempatkan jualan barang barang basah dan buah buahan yg pelbagai . Oh ye apa berbezanya di sini berbanding pasar di Semenanjung,di sini juga dijual barangan basah binatang eksotik ,bukan hanya ikan, khinzir dan ayam. Antara yang menarik perhatian saya ialah musang dan ular sawa yang dijual kilo seperti ayam di pasar.Bercampur baur perasaan berada di sini melihat bangkai bangkai musang,khinzir dan anak anjing dijual bercampur dengan ikan dan ayam. Moga umat Islam dan muallaf di sini terus kuat untuk melalui kehidupan dan dijauhkan dari makan makanan yang haram & syubhah.


Pada jam 10.30 pagi,seperti yang dirancang,bermula lah pengembaraan kami ke Punan Bah menaiki bot ekspres. Hujan lebat mengiringi perjalanan kami selama 4 jam.


Perjalanan kali ini sedikit mencabar kerana bot akan melalui kawasan jeram ditambah pula dengan air sungai yg deras disebabkan hujan. Semua barang keperluan untuk dibawa disana sudah kami bungkuskan dan disimpan di bot.

Alhamdulillah setelah menempuh 4 jam perjalanan,akhirnya kami tiba di Punan Bah. Kami disapa oleh beberapa guru dari Semenanjung yang tinggal mengajar di Punan Bah. Kami dibawa ke rumah Kak Hidayah dan sesi taaruf bersama peserta kursus fardhu ain. Kebanyakkan mereka merupakan muallaf yang sudah lebih dari 6 tahun kembali kepada Islam namun tidak mendapat bimbingan sejak menjadi muslim disebabkan ketiadaan guru / ustaz yang mengajar. Fasiliti disini juga kurang dengan ketiadaan masjid & pusat pengajian agama berbeza seperti di Semenanjung yang penuh dengan lambakan pusat-pusat pengajian agama/tahfiz dan sekolah agama.


Slot pertama kami pada hari ini adalah sesi taaruf bersama peserta yang majoritinya adalah muallaf. Kesemua mereka begitu bersemangat untuk belajar tentang solat & mengaji kerana sejak mereka kembali kepada Islam mereka tidak pernah mendapat bimbingan. Selepas sesi taaruf, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan bagi memudahkan penilaian tahap pemahaman mereka tentang ilmu fardhu ain. Apa yang boleh saya katakan, saya sangat sedih apabila mendapat tahu mereka tidak mendapat bimbingan sejak menjadi muallaf. Mereka tidak tahu cara solat, mengaji dan ilmu agama yang lain. Seperti hanya sekadar mendapat "Islam" tetapi tidak tahu cara mengamalkannya. Bukan baru 1 bulan atau 2 bulan, tetapi ada jugak yang sudah 15 tahun kembali kepada Islam tapi tidak mengamalkan apa yang dituntut kerana tidak mempunyai bimbingan. Alhamdulillah, kami ke sini dengan matlamat untuk memberikan sedikit sebanyak tentang ilmu fardhu ain dalam 6 hari kami di sini dan selebihnya akan diteruskan oleh Ustaz Khairul yang dibawa dan dibiayai oleh MISI7 selama 3 bulan beliau berada di sini.


Selesai sesi tersebut, kami dibawa ke tapak tanah wakaf oleh abang Karano untuk pembinaan Pusat Bimbingan Muallaf. Keadaan tapak tersebut telah siap diratakan. Bro Hairul memeriksa kedudukan tapak dan arah kiblat untuk menetapkan kesesuaian bangunan yang akan didirikan. Perjalanan ke tapak ini dari rumah Kak Hidayah mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan menaiki kereta.

Selepas maghrib, bro Hairul mengadakan mesyuarat bersama beberapa orang muallaf di rumah Kak Hidayah bagi membincangkan projek tanah wakaf bagi pembinaan Pusat Bimbingan Muallaf di Kampung Punan Bah ini. Semoga apa yang dirancang dipermudahkan urusan dan InsyaAllah dapat memberikan manfaat kepada golongan muallaf disini untuk mendalami Islam.


HARI KETIGA: 29 Feb 2020

Alhamdulillah hari kedua di Punan Bah masih diberi nikmat kesihatan untuk meneruskan kursus fardhu ain disini. Seawal 8 pagi semua peserta sudah datang untuk mengikuti pengajian seterusnya. Pengajian pagi ini dimulakan dengan cara membaca Al Fatihah mengikut tajwid yang betul. Peserta diajarkan membaca Al Fatihah menggunakan buku yang disumbangkan oleh beberapa penyumbang dari Semenanjung. Untuk slot ini,kami menekankan cara membaca Al Fatihah dengan betul bagi dipraktikkan dalam solat. Alhamdulillah,hampir kesemua peserta kursus ini sudah mampu membaca & menghafal surah Al Fatihah setelah selesai slot ini.



Pada jam 10.30 pagi slot kedua yang lebih memfokuskan cara bacaan dalam solat mengikut buku panduan.Mereka di ajar cara solat secara teori dan praktikal oleh kami.Peserta juga diajar cara berwudhuk mengikut tertib selain turut diberi peluang untuk membuat praktikal cara wudhuk yang betul.

Sementara itu didapur, Bro Hairul dan Sis Ayuni (sukarelawan tempatan) menyediakan masakan untuk peserta kursus. Para peserta disediakan minum pagi, makan tengahari dan minum petang untuk kursus ini.


Terima kasih diucapkan atas perkongisan rezeki oleh orang ramai bagi mengisi perut para peserta kursus ini.


HARI KEEMPAT: 01 MAC 2020

Seawal 8.00 pagi,peserta sudah mula hadir ke rumah Kak Hidayah untuk meneruskan pengajian fardhu ain .Peserta dihidangkan dengan makanan istimewa sebelum memulakan kelas. Pengajian pada hari ini lebih tertumpu kepada bab Istinjak & mandi wajib. Peserta diajar dikenalkan apa itu mandi wajib, cara mandi wajib dan sebab perlu mandi wajib.


Jujur saya katakan, agak sedih bila mereka sendiri tidak tahu apa itu mandi wajib apa lagi cara mandi wajib. Mereka tidak pernah terdedah dengan ilmu begini semenjak kembali kepada Islam walaupun sudah bertahun menjadi muallaf. Saya dah ustaz Khairul menerangkan dengan lebih terperinci kepada peserta lelaki dan perempuan secara berasingan tentang mandi wajib dan istihadah.


Diakhir pembelajaran juga,kami sempat menyentuh bab istinjak kerana ianya merupakan salah satu yang penting yang melibatkan ibadah yang sah. Kebanyakkan peserta perempuan masing-masing sedikit terkejut mendengar penerangan tentang istinjak yang selama ini mungkin tidak berapa tahu tentang cara istinjak yang betul. Mereka juga tidak tahu apa itu wiladah ,nifas dan perlunya mandi wajib selepas berlakunya beberapa perkara.


Pengajian diteruskan dengan pengenalan huruf-huruf hijaiyah. Peserta diperkenalkan huruf huruf & cara sebutan hijaiyah. Alhamdulillah kesemua peserta bersungguh-sungguh nak mempelajari iqra. Walaupun selepas habis kelas dan waktu rehat,masih ada yang belajar sesama sendiri menyebut & mengingat huruf-huruf hijaiyah.Benarlah apa yang pernah dikatakan oleh sahabat saya pada suatu masa dulu,penduduk di pedalaman Sabah & Sarawak betul-betul menantikan guru agama yang boleh mengajar mereka dan mereka kalau belajar memang sangat bersungguh-sungguh & menghargai guru. Alhamdulillah, keinginan saya dari dulu untuk berkhidmat di kawasan pedalaman tercapai dalam misi kali ini walaupun cuma untuk beberapa hari.


Selesai makan dan solat zohor secara berjemaah,setiap peserta dinilai tahap kefahamannya dan pengenalannya pada huruf-huruf hijaiyah yang dipelajari pada pagi tadi. Alhamdulillah,hampir separuh daripada peserta sudah mampu mengenal dan mengingat nama huruf tanpa bantuan tulisan rumi. Saya juga mengajar peserta mengenal huruf melalui lagu dengan tujuan bagi memudahkan mereka untuk mengingat & mengenal huruf bila mereka belajar sendiri di rumah.

Kelas berakhir pada jam 3.30 petang.


Ketua kami bro Hairul membuat majlis penutupan kursus fardhu ain dan pengagihan sijil dan sumbangan telekung, buku iqra, buku panduan solat dan 3 unit iBantu Solat kiriman dari penyumbang MISI7.




Alhamdulillah,terima kasih kepada penyumbang barangan keperluan solat untuk muallaf disini. Semoga Allah melimpah ruahkan lagi rezeki kalian dan sumbangan ini dapat dimanfaatkan oleh muallaf di sini dengan sebaiknya.


Petang itu, kami dibawa mengelilingi sungai Bah yang mengalir ke Sungai Rajang oleh abang Herman (suami Kak Hidayah) dengan menaiki bot kecil kepunyaan beliau. Best sangat!



HARI KELIMA: 02 MAC 2020

Harini, hari terakhir saya dan Bro Hairul bersarapan di rumah Kak Hidayah di Punan Bah. Cucur ikan bilis menjadi santapan kami pagi ni sebelum bertolak. Alhamdulillah,seusai makan kami berkesempatan singgah di rumah salah seorang peserta kursus kami, Abang Hussin. Kedatangan kami disambut dan diraikan dengan bihun goreng yang dimasak oleh Abang Hussin sendiri.


Tepat jam 9.30 pagi,bot eskspres tiba di depan rumah abang Hussin. Kepulangan saya dan bro Hairul diiringi oleh peserta-peserta kursus fardhu ain kami. Berat rasa hati ingin meninggalkan kesemua mereka di Kampung Punan Bah ini. Walaupun baru 4 hari kenal, namun kami sudah seperti keluarga kerana mereka disini semuanya peramah dan mudah mesra. Semoga ilmu yang sempat dikongsikan selama 4 hari berada disini dapat dimanfaatkan selepas ini. Jujur saya katakan, saya sangat seronok dapat mengajar penduduk muallaf di sini sebab mereka betul-betul bersungguh untuk belajar. Sebelum balik masih lagi Kak Hidayah dan seorang peserta lain meminta saya untuk tinggal disini 2 hari lagi atau mengajar disini terus.


Allahu,mereka sangat menghargai guru yang datang & bersungguh ingin terus belajar. InsyaAllah, doakan saya suatu hari nanti dapat datang ke sana lagi untuk menziarahi mereka.


Perjalanan dari Punan Bah menaiki bot ekspres selama 3 jam akhirnya kami tiba di Kapit pada jam 12.20 tengahari. Namun,masih belum sampai ke destinasi yang kami tuju. Kami menaiki sekali lagi bot eskpres dari Kapit ke Sibu yang mengambil masa 3 jam sekali lagi yang menjadikan perjalanan kami 6 jam di atas bot. Pejam celik pejam celik,akhirnya kami tiba di Sibu pada jam 3.20 petang. Kereta yang kami sewa sudah menunggu di hentian dan bersedia untuk digunakan.


Perjalanan yang panjang membuatkan perut kami berbunyi. Hahaha destinasi pertama kami ialah mencari restoran yang halal. Kebanyakkan restoran di sini ialah restoran bukan islam. Bro Hairul bercadang membawa saya ke sebuah restoran melayu, Zara Cafe yang viral di media sosial namun mungkin bukan rezeki kami untuk makan disitu kerana pada hari ini kedai tidak beroperasi. Alhamdulillah, pusing punya pusing kami terjumpa deretan kedai makan muslim seperti di RNR bersebelah Masjid An Nur. Kami membungkus makanan dan menuju ke hotel. Perjalanan kami petang itu bersambung selepas maghrib.


Selepas maghrib, kami bertemu di lobi hotel dan bro Hairul membawa saya ke pasar malam Sibu untuk melihat dan merasai kelainan di pasar tersebut. Kebanyakkan makanan yang dijual di sini adalah makanan tidak halal. Daging khinzir dijual seperti ayam golek di pasar malam. Hanya beberapa gerai milik peniaga muslim saja yang meniaga dan kebanyakkannya menjual ayam goreng & ayam bakar. Kami cuma membeli satey kambing & daging dan beberapa jenis kuih untuk dibawa ke gerai makan berdekatan. Kami makan malam dideretan gerai muslim berdekatan Masjid An Nur bersama salah seorang peserta Kursus Fardhu Ain kami yang tinggal di Sibu. Setelah makan, kami pulang ke bilik hotel masing-masing untuk berehat.


HARI KEENAM: 03 MAC 2020

Alhamdulillah, pagi di bandar Sibu. Harini saya dh bro Hairul memulakan perjalanan kami mencari sarapan pagi di bandar Sibu. Restoran pilihan kami ialah D’Dapur Ani. Restoran ini menyajikan pelbagai jenis makanan seperti Nasi Lemak,Mee goreng,Mihun goreng,Laksa Sarawak & beberapa makanan yang lain. Disebabkan berada di Sarawak,saya dh bro hairul ingin mencuba makanan yang berbeza dari Semenanjung. Kami mencuba laksa Sarawak dan Kampua. Alhamdulillah dapat mencuba sesuatu yang berbeza disini. Kalau makan nasi lemak,apa bezanya seperti kami di Semenanjung.

Seusai makan, kami menuju ke Pasar Besar Sibu. Disini sama seperti pasar besar biasa. Kebanyakkan penjual disini ialah bukan islam & menjual buah-buahan,makanan,daging, ayam,khinzir,barang cenderahati dan pelbagai lagi. Saya dan bro hairul sempat membeli buah-buahan dan kek lapis buatan peniaga muslim sebagai buah tangan sebelum pulang. Kek Lapis Sarawak yang dijual disana juga pelbagai rasa dan bentuk dengan harga yang murah & tidak terlalu manis rasanya. Apa yang penting,kek lapis dijual dan dibuat sendiri oleh peniaga.

Sempat juga kami rakamkan kenangan sebelum balik di depan air pancut didepan pasar besar Sibu.



Sekitar jam 10.30 pagi,kami singgah sebentar di pelabuhan Sibu untuk merakamkan sedikit kenangan bergambar di sana sebelum balik ke hotel. Bro Hairul menjadi photographer saya pada masa tu disebabkan kami berdua je yang ada. Hahaha terima kasih bro banyak layan kerenah saya lagi lagi masa nak bergambar.



Kami kembali ke bilik hotel masing-masing untuk mengemas barang. Tepat jam 12 tengahari,kami “check out” dan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Sibu Heritage. Disini terdapat pelbagai jualan barangan cenderahati Sarawak & muzium di tingkat atas.Muzium ini lebih menceritakan tentang sejarah asal usul kaum-kaum,agama,etnik & rumah yang pelbagai di Sarawak.Selain itu,banyak juga menceritakan sejarah pahlawan pada masa,penentangan dari kaum lain sebelum kemerdekaan.Tokoh-tokoh pahlawan seperti Rosli Dhobi juga ada di ceritakan disana. Keris keris lama, barang tinggalan semasa peperangan pada masa dulu,artifak lama dan sebagainya banyak disimpan di muzium ini. Banyak ilmu baru yang boleh pelancong dapati selama berada di sini.


Setelah itu,saya singgah di kedai cenderahati di tingkat bawah untuk membeli sedikit buah tangan untuk keluarga dan sahabat di Semenanjung.Barang disini juga murah & pelbagai. Saya sempat membeli baju,keychain dan beberapa barang yang lain. Sepanjang 4 hari di Punan Bah,tiada kedai cenderahati,tiada pasar raya,tiada kedai makan membolehkan saya melaburkan sedikit wang disini.Ada baiknya dengan ketiadaan fasiliti disana,mampu menjimatkan duit dari terus mengalir tanpa sedar. Haha


Setelah hampir sejam berjalan,perut mula memberi isyarat kecemasan. Kami menunaikan solat zohor dulu di Masjid An Nur sebelum singgah makan di restoran yang sama yang kami makan pada petang semalam dan malam tadi. Cekodok goreng panas & nasi goreng kampung menjadi santapan kami pada tengahari itu.


Saya dan bro hairul terus bertolak ke lapangan terbang memandangkan sudah pukul 3 petang. Perjalanan yang mengambil masa 45 min ke lapangan terbang memerlukan kami bergerak awal walaupun penerbangan pulang ke Kuala Lumpur pada jam 7.00 malam.


Setiba di sana,kami mendaftar masuk bag dan membuat menunggu sehingga jam 6.30 petang untuk penerbangan pulang.


Alhamdulillah setelah hampir dua jam di dalam penerbangan, tepat jam 8.45 malam kami selamat mendarat di KLIA 2 .Kami selamat tiba dalam keadaan baik tanpa ada sebarang masalah & diberi kesihatan yang baik. Alhamdulillah Sebelum pulang,kami mengucapkan terima kasih satu sama lain.


Alhamdulillah,berakhir sudah pengembaraan kami ke Kapit Punan Bah dan Sibu selama 6 hari 5 malam.Terima kasih saya ucapkan kepada rakan seperjuangan saya sepanjang berada di sini, Bro Hairul, Sis Ayuni dan Ustaz Khairul yang banyak membantu & memberi nasihat sepanjang mengikuti misi ini. Terima kasih juga kepada Kak Hidayah & Abang Herman yang sudi menumpangkan kami di rumahnya & melayan kami sebagai keluarga dengan baik sepanjang berada di Punan Bah dan akhir sekali terima kasih kepada penduduk muallaf di Punan Bah. Moga sedikit ilmu yang kami sampaikan selama beberapa hari itu dapat diamalkan berterusan sehingga ke akhir hayat dan dimanfaatkan untuk generasi anak cucu pada masa akan datang. Teruskan belajar & menimba ilmu agama walau dimana berada. Terima kasih juga untuk bro Hairul yang menjaga saya, peserta perempuan yang ada selama berada di Sibu dengan baik & selamat.


InsyaAllah jika ada rezeki,saya akan mengikuti ke pengembaraan yang lain pada masa akan datang. Aamiin!


Catatan oleh,

Sukarelawan #MISI7InSarawak2020 (Feb)

27 Feb-03 Mac 2020


KLIK DISINI untuk membaca laporan penuh program ini.




212 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page